PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) diminta menyelesaikan segera isu penempatan bagi menjalani latihan Program Pegawai Pergigian Baharu (NDOP) selepas ada graduan terpaksa menunggu hampir setahun sebelum menerima penempatan.
Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM) berkata, KKM perlu mengambil tindakan segera dalam menyelesaikan isu terbabit memandangkan graduan pergigian disifatkan sudah bersedia menjalani latihan berkenaan selepas tamat pengajian.
“Sebelum tahun 2002, graduan pergigian dibenarkan praktis (merawat pesakit) sebaik sahaja tamat pengajian tanpa perlu menjalani apa-apa perkhidmatan wajib.
“Pihak persatuan yakin selepas tamat pengajian, graduan pergigian sudah berkemampuan untuk merawat pesakit dengan had kebolehan masing-masing kerana semasa pembelajaran selama lima tahun, mereka sudah merawat pesakit,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.
IMAM berkata demikian sebagai memberi reaksi kepada laporan Kosmo! yang mendedahkan, ada graduan pergigian terpaksa bekerja sebagai pembantu klinik kerana belum menerima sebarang penempatan NDOP selepas tamat pengajian.
Berita berkaitan: Ramai bakal doktor gigi menganggur
Sementara itu, ketika ditanya mengenai keperluan untuk membenarkan graduan pergigian menjalankan latihan NDOP di fasiliti perubatan swasta, IMAM berkata, cadangan itu perlu dipertimbangkan KKM.
“Ia satu cadangan praktikal serta perlu dipertimbangkan oleh pihak berwajib sekiranya kapasiti sedia ada tidak mencukupi.
“Penambahan fasiliti untuk NDOP yang memenuhi kriteria tertentu akan membantu mengurangkan tempoh menunggu graduan pergigian seterusnya mengurangkan masalah pengangguran mereka,” jelasnya.
Sebelum ini, bekas Presiden Persatuan Doktor Pergigian Swasta Malaysia, Dr. V. Nedunchelian turut memohon kerajaan memberi peluang kepada fasiliti perubatan swasta dalam menguruskan latihan NDOP graduan pergigian.
Katanya, cadangan itu perlu dipertimbangkan KKM bagi mempercepatkan proses penempatan latihan NDOP kerana hampir 1,200 graduan pergigian ‘dilahirkan’ setiap tahun.