UNGKAPAN penyanyi legenda, Elton John berbunyi begini: “Dia tidak berminat dalam perihal komersial untuk tujuan komersial tetapi dalam Spotify kini, dia merupakan antara artis paling laris dunia.
“Seperti mendiang Prince, dia bergerak dengan rentak muziknya sendiri. Itu satu teladan yang perlu dicontohi seseorang artis.”
Kata-kata tersebut didedikasikan buat Abel Tesfaye atau nama lengkapnya, Abel Makkonen Tesfaye.
Abel yang dimaksudkan itu ialah The Weeknd. Dia si pemilik sepotong nama glamor yang jarang menghampakan setiap kali muncul dengan karya baharu.
Sejak mucul dengan album Kiss Land sampailah yang terbaharu, After Hours, graf pencapaiannya menjalar cantik.
Judul-judul single seperti Beauty Behind The Madness, Starboy dan After Hours berjaya meroket ke tangga pertama carta album Billboard 200 Amerika Syarikat (AS).
Biarpun album debutnya, Kiss Land gagal menduduki tangga pertama, Abel membuktikan namanya semakin mekar dengan perkongsian karya-karya yang mudah menghipnosis peminat seluruh dunia.
Rumah 80 juta
Berasal dari Toronto, Kanada, Abel sudah enam tahun menetap di Los Angeles, AS mendiami kawasan elit Hidden Hills. Dia tinggal di sebuah agam mewah berharga AS$20 juta (RM80 juta) berjiran dengan nama-nama besar seperti Drake, Britney Spears dan keluarga Kardashians.
Banyak menghabiskan masa dengan konsert jelajah dan perihal kerjaya sebagai penyanyi sejak sedarsawara lalu, kadang-kadang, Abel tidak dapat menafikan yang dirinya amat merindukan tempat kelahirannya, Toronto.
“Saya tidak sedar betapa baiknya orang Kanada sampailah saya sudah tinggalkan negara itu dan tidak lagi menetap di situ,” ujarnya.
Abel menghidap penyakit asma dan disebabkan pandemik Covid-19, dia sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga agar tidak dijangkiti virus tersebut yang sudah meragut nyawa lebih 200,000 nyawa di AS dengan lebih tujuh juta kes jangkitan.
Disebabkan situasi sebegitu, dia lebih selesa menghabiskan masa di rumah bersama Doberman iaitu anjing peliharaannya dan menonton banyak program Netflix.
“Saya akan tulis lagu tentang hubungan, karakter atau benda-benda yang saya tengok dalam skrin. Perkara ini mungkin bukan sesuatu yang benar tetapi itu satu amalan yang saya suka buat.
“Sejujurnya, banyak benda yang terbelangkalai disebabkan Covid-19. Kalau ikutkan hati memang saya boleh jadi gila. Bayangkanlah saya melancarkan album, namun tidak boleh berjumpa peminat untuk mempromosikannya,” tutur pelantun lagu Blinding Lights itu.
Single paling lama bertahan
Bercakap tentang album terbaharunya, After Hours, Abel sejujurnya sudah lama mahu merealisasikan karya sedemikian, namun terhalang oleh beberapa perkara.
“Memang sudah lama saya mahu lakukan seperti apa yang terhasil dalam After Hours menerusi karya terdahulu.
“Tinggal lagi, saya tiada sumber, bajet dan masa secukupnya untuk merealisasikan semuanya secara teratur sebagaimana dalam album yang terbaru ini,” luahnya.
After Hours merupakan antara album yang dijangka menerima pencalonan banyak dalam acara berprestij, Grammy Awards 2021 berdasarkan prestasinya dari segi jualan dan kualiti yang menjemput pujian melambung global.
“After Hours mungkin bukan album terbaik yang pernah saya hasilkan tetapi menjadi album paling sempurna yang pernah saya pernah hasilkan.
“Pada masa hadapan, saya boleh dengar balik dan bisik pada diri bahawa saya tiada masalah dengan album ini, sungguh,” ujarnya.
Single perdananya yang dipetik daripada After Hours iaitu Blinding Lights merupakan antara single paling laris untuk tahun 2020.
Lagu ciptaan Daheala, Ahmad Balshe, Jason ‘Daheala’ Quenneville, Max Martin, Oscar Holter dan dirinya sendiri itu tidak hanya pernah bertakhta di kerusi pertama Billboard Hot 100.
Minggu lalu, karya tersebut memecahkan rekod yang sebelum ini dipegang Ed Sheeran menerusi lagu Shape Of You. Setelah 28 minggu, single tersebut menjadi lagu paling lama bertahan dalam kelompok Top 5 dalam carta berkenaan.
“Saya dan pasukan bekerja sangat keras untuk mengekalkan unsur ‘mistik’ dan bunyi asli, namun kedengaran seperti baharu di telinga orang.
“Walaupun Blinding Lights sangat popular, saya belum dapat menikmati lagu itu sepenuhnya. Kalau dahulu, sewaktu lagu Can’t Feel My Face daripada album Beauty Behind The Madness meletup, saya boleh dengar lagu itu semasa memandu atau berada di kelab malam.
“Disebabkan apa yang berlaku di dunia ketika ini, saya tidak boleh betul-betul berasa bahagia dengan kejayaan ini,” luah Abel, 30.
Gian hidup normal
Melanjutkan bicara, Abel mendedahkan, hanya sekitar dua tahun lalu dia berpeluang hidup normal, sama seperti orang kebanyakan di New York.
Seperti ketika memandu, kita perlu tarik brek tangan dan berhenti seketika untuk menikmati apa sahaja yang terbentang di depan mata walaupun tetap terperangkap dalam kesibukan jalan raya.
Secara metaforanya, itulah yang Abel lakukan usai meluncurkan album mininya. My Dear Melancholy yang terkandung banyak lagu bersifat peribadi.
“Saya berhenti sekejap untuk menikmati kehidupan dan saya lakukan perkara itu sewaktu tinggal di New York.
“Saya memang teringin untuk tinggal di bandar raya itu selepas bertahun sekadar melihatnya menerusi gambar dan visual.
“Di New York, saya dapat jadi seperti manusia normal lain. Saya ke kedai kopi, menulis, berjumpa orang di bar atau di jalanan dan menjalin persahabatan baharu.
“Tinggal di New York membuatkan saya berasa sangat normal, lebih dari mana-mana kota yang pernah saya diami,” kata Abel yang pernah terjebak najis dadah seawal usia 11 tahun.