MUNGKIN kini ramai yang sudah tahu mengenai ungkapan body shaming atau perbuatan menghina rupa fizikal seseorang.
Namun, hanya individu yang pernah menjadi mangsa yang tahu bagaimana rasanya perit diejek dan diperlekehkan.
Penulis tidak terkecuali. Mengalami perubahan saiz fizikal mendadak menjadikan penulis bahan sindiran teman sekeliling.
Mujur penulis jenis yang tidak ambil kisah. Cuma anggap sebagai gurauan.
Tetapi bagaimana pula dengan individu yang memandang serius jika isu fizikal mereka dijadikan bahan gurauan?
Tidak mustahil, mungkin satu nyawa boleh terkorban disebabkan kata-kata menghina itu.
Menurut laporan Kementerian Kesihatan, kesannya boleh menyebabkan mangsa tertekan dan emosi terganggu, kehilangan keyakinan diri, kemurungan dan menjurus kepada bunuh diri.
Beberapa minggu lalu, hangat di media tentang tindakan saman yang akan diambil oleh seorang wanita selepas menjadi mangsa body shaming oleh seorang personaliti media sosial.
Menurut laporan, mangsa, Suharnizan Md. Sidek yang juga Pesuruhjaya Sumpah telah mengambil tindakan saman sivil terhadap Noorazira Pissal atau Eira Aziera kerana menghinanya secara terbuka di media sosial.
Menurut peguam Suharnizan, Mohd. Rasheed Hassan, Eira Aziera boleh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Perbuatan dia (Eira Aziera) telah memberi kesan mendalam kepada mangsa (Suharnizan) walaupun Eira Aziera ada membuat permohonan maaf di Facebook,” kata Mohd. Rasheed.
Menurut pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr. Mazlena Mohamad Hussain, perbuatan body shaming sebenarnya telah berlaku sejak sekian lama.
“Sebagai manusia memang ada sesetengah individu suka memberi komen sehingga melukakan hati orang lain walaupun tanpa niat.
“Bagaimanapun, isu body shaming semakin menjadi-jadi apabila wujud media sosial yang membenarkan orang berkata apa sahaja,” katanya.
Ujarnya, masalah juga timbul apabila masyarakat menyalahgunakan hak kebebasan bersuara.
“Benar kita mempunyai kebebasan bersuara, tetapi ada batasannya, jangan sampai melukakan hati seseorang,” tegasnya.
Berbicara lebih lanjut, body shaming sebenarnya boleh berlaku dalam pelbagai bentuk termasuk kata-kata yang memberi cadangan sehingga mempengaruhi tindakan mangsa.
Sebagai contoh, pelaku mungkin boleh berkata: “kalau aku jadi kau, lebih baik aku terjun laut.” Ungkapan itu secara tidak langsung boleh mempengaruhi mangsa sehingga mengambil tindakan membunuh diri.
Perangai manusia berbeza-beza. Mungkin ada segelintir daripada mereka jenis ‘telinga tebal’ termasuk diri penulis sendiri. Katalah apa sahaja, ibarat tidak meninggalkan kudis.
Tidak dinafikan, masyarakat hari ini meletakkan satu penanda aras yang tinggi untuk seseorang itu sempurna.
“Kalau rasa perbuatan yang kita lakukan itu tidak mendatangkan faedah, diam itu adalah lebih baik,” kata Mazlena.
Fizikal seseorang itu sebenarnya berada di luar kawalan mereka dan tidak perlu dihina seseorang yang dilahirkan dengan sifat tertentu.
Masyarakat perlu belajar untuk diam dan menghormati perasaan orang lain.