DOHA – Qatar memberi bantuan kewangan sebanyak AS$60 juta (RM264 juta) kepada angkatan bersenjata Lebanon, kata kementerian luar di Doha kelmarin.
Lebanon berdepan krisis kewangan luar jangkaan yang dilabel oleh Bank Dunia sebagai antara yang terburuk di dunia sejak tahun 1850-an.
Krisis ekonomi melenyapkan nilai gaji askar dan mengehadkan peruntukan untuk peralatan dan penyelenggaraan ketenteraan.
Pada satu ketika dalam tahun 2020, Lebanon menyatakan tidak mampu memberikan daging sebagai makanan kepada anggota tenteranya berikutan kenaikan harga makanan.
Pada Jun tahun lalu, tentera Lebanon menawarkan pengalaman menaiki helikopternya kepada pelancong bagi menjana pendapatan.
Kelmarin, sumber tentera memberitahu agensi berita AFP bahawa bantuan Qatar itu dapat membantu membayar gaji askar Lebanon.
Pengumuman Qatar itu dibuat semasa lawatan Menteri Luarnya, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani ke Lebanon.
“Bantuan ini adalah komitmen kami dalam menyokong rakyat dan institusi negara Lebanon. Ia juga untuk menunjukkan kepada rakyat Lebanon bahawa dunia Arab tidak melupakan mereka,” kata Majed al-Ansari selaku penasihat Sheikh Mohammed.
Pada Julai 2021, Qatar mengumumkan akan membekalkan 70 tan makanan kepada tentera Lebanon pada setiap bulan selama setahun. Amerika Syarikat pula kekal sebagai penaja kewangan terbesar tentera Lebanon. Washington meningkatkan pembiayaan tentera Lebanon sebanyak AS$15 juta (RM66 juta) untuk tahun 2021 kepada AS$120 juta (RM528.3 juta). – AFP