fbpx

Bank Dunia tubuh dana perangi pandemik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IBU PEJABAT Bank Dunia dirakam di Washington pada 25 Mei lalu. - AFP

WASHINGTON – Majlis Bank Dunia kelmarin meluluskan penubuhan sebuah dana bertujuan untuk membia­yai pelaburan dalam memperkukuhkan perang melawan pandemik.

Dana itu akan menyokong pencegahan, persiapan dan tindak balas (PPR) dengan memberi tumpuan kepada negara-negara berpendapatan rendah serta sederhana, kata Bank Dunia dalam satu kenyataan.

“Kesan dahsyat Covid-19 terhadap ekonomi, manusia dan masyarakat menyerlahkan keperluan untuk menyelaras tindak balas bersama bagi memperkasakan sistem kesihatan dan menggerakan sumber tambahan,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Bank Dunia menambah, dana berkenaan yang akan dibuka lewat tahun ini, ditubuhkan di bawah kepimpinan Amerika Syarikat (AS), Itali dan Indonesia sebagai sebahagian daripada kepresidenan ketiga-tiga negara dalam Kumpulan Tujuh (G20).

Ia akan digunakan dalam pelbagai bidang termasuk pemantauan penyakit dengan komitmen lebih AS$1 bilion (RM4.41 bilion) telah diumumkan.

“Bank Dunia adalah pembiaya terbesar untuk PPR de­ngan operasi aktif di lebih 100 negara membangun bagi memperkukuhkan sistem kesihatan di negara-negara berkenaan,” kata Presiden Bank Dunia, David Malpass dalam satu kenya­taan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia pula merupakan pemegang kepentingan dalam projek itu dan akan memberikan kepakaran teknikal, kata ketuanya, Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Dalam satu kenyataan berasingan, Setiausaha Perbendaharaan AS, Janet Yellen berkata, dana itu merupakan kejayaan utama yang akan membantu negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana untuk lebih bersiap sedia dalam menghadapi pandemik seterusnya.

Seorang jurucakap Bank Dunia berkata, sekiranya Covid-19 masih berterusan semasa dana itu dilaksanakan, ia boleh digunakan untuk membantu usaha membasmi pandemik semasa dan wabak global di masa hadapan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI