BRUSSELS, Belgium – Pengeluaran di kilang coklat terbesar dunia di Belgium dihentikan selepas pencemaran Salmonella dikesan di premis tersebut, lapor portal berita MailOnline.
Kilang gergasi milik syarikat Switzerland, Barry Callebaut di bandar Wieze, menghentikan pengeluaran serta-merta selepas bakteria berbahaya itu ditemui dalam mesin adunannya.
Barry Callebaut menghasilkan coklat cair yang dijual secara borong kepada 73 syarikat terkemuka seperti Hershey, Mondelez, Nestle dan Unilever.
Setakat ini, tiada laporan mengenai mana-mana pengguna coklat dijangkiti salmonella.Bakteria itu menyebabkan penyakit salmonellosis dengan simptom cirit-birit dan demam.
“Semua produk keluaran Barry Callebaut dihentikan penjualannya selepas keputusan ujian diperoleh.
“Barry Callebaut sedang menghubungi semua pelanggan yang mungkin menerima produk tercemar. Pengeluaran coklat di Wieze kekal digantung sehingga diberitahu kelak,” kata jurucakap syarikat, Korneel Warlop.
Kebanyakan produk yang didapati tercemar masih berada di dalam kilang, manakala syarikat itu tidak menjual produk secara terus kepada pengguna. Justeru, tiada kebimbangan produk tercemar akan mengisi rak-rak kedai serta pasar raya.
Bagaimanapun, firma itu tetap mengambil langkah berjaga-jaga dengan menghubungi semua pelanggannya dan meminta mereka tidak menghantar sebarang produk yang menggunakan coklat Barry Callebaut bermula 25 Jun lepas.
“Keselamatan makanan adalah sangat penting untuk Barry Callebaut dan pencemaran ini agak luar biasa.
“Kami mempunyai piagam dan prosedur keselamatan makanan yang jelas dalam situasi sebegini,” kata firma itu.
Barry Callebaut adalah syarikat pengeluar coklat nombor satu dunia dengan jualan tahunan mencecah 2.2 juta tan pada tahun kewangan 2020 hingga 2021. – Agensi