ALOR SETAR – Kira-kira 20 keluarga di Kampung Empa, Mukim Derang dekat sini, berhadapan masalah lalat yang dikatakan berpunca dari ladang ternakan ayam berdekatan hingga menjejaskan kehidupan harian mereka.
Difahamkan, masalah itu bermula sejak 10 tahun lalu dan berpunca dari sebuah ladang ayam di Lembah Arang, Jitra.
Mohd. Jefri Abu Bakar, 48, berkata, masalah itu timbul setiap kali ayam ternakan di ladang itu dikeluarkan dan menyebabkan penduduk di sekitar kawasan itu akan berhadapan dengan masalah lalat.
“Selain masalah lalat, kami terpaksa berdepan dengan pencemaran bau hingga menyebabkan kami terpaksa membakar sesuatu yang wangi supaya bau busuk dapat dihindari.
“Apabila bau busuk hilang sementara, timbul pula masalah lalat hingga perniagaan terjejas. Saya terpaksa membuka kedai makan lewat sedikit supaya lalat akan berkurangan terutamanya menjelangnya waktu maghrib,” ujar bapa kepada tiga anak itu.
Katanya, ada beberapa peniaga terpaksa menutup kedai makan kerana lalat terlalu banyak.
“Kami sebagai peniaga makanan kadang kala malu apabila menghidangkan makanan yang dipenuhi lalat selain ramai pelanggan merungut.
“Bagi mengatasi masalah itu kami menggunakan kertas perangkap lalat tetapi sehingga kini masih juga tak selesai,” katanya.
Sharipah Abdullah, 40, berkata, masalah lalat ini menyebabkan ada penduduk yang mengadakan kenduri berasa malu untuk menjemput tetamu.
Katanya, sejak musim durian di kawasan itu, ramai penduduk mengadakan kenduri kesyukuran dan terpaksa hidangkan durian dengan lalat yang bertaburan di segenap tempat.
“Kadang kala bau busuk najis ayam itu menyebabkan kami berasa meloya dan termuntah terutamanya selepas hujan turun.
“Saya bimbang jika masalah ini tidak diambil tindakan segera akan memberi kesan kepada penduduk terutama kanak-kanak. Masalah kebersihan atau penyakit bawaan lalat ini boleh mengakibatkan cirit-birit atau keracunan makanan,” katanya.
Dia berharap pihak berkuasa turun padang mengatasi masalah itu dan sepatutnya ladang ayam tidak boleh beroperasi berhampiran kediaman penduduk.