GEORGE TOWN – Sebahagian peniaga ayam di beberapa pasar awam di negeri ini dikatakan masih berkeras mengenakan harga tinggi bagi bekalan itu sehingga mencecah RM11 sekilogram berbanding harga siling runcit baharu yang ditetapkan pada kadar RM9.40 sekilogram.
Perkara itu didedahkan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menerusi tinjauan yang dilakukan di tiga buah pasar di daerah Barat Daya dan Timur Laut di sini pagi tadi.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, hasil tinjauan pihaknya hari ini mendapati peniaga barangan keperluan utama itu masih menetapkan harga antara RM10.50 dan RM11 sekilogram.
Menurutnya, ini secara terbuka telah mengingkari harga tetap yang dikuatkuasakan kerajaan iaitu RM9.40 sekilogram.
“Walaupun segelintir daripada mereka telah menulis harga lama di papan kenyataan tetapi mereka tetap menjual ayam secara terbuka pada harga antara RM11 hingga RM12 sekilogram.
“Menurut peniaga, terdapat banyak bekalan ayam di pasaran berbanding aduan sebelum ini yang mengatakan berlaku kekurangan ayam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Justeru jelasnya, CAP menyeru Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyiasat isu berkaitan kenaikan harga bekalan ayam sehingga mampu menjejaskan golongan berpendapatan rendah.
“Tindakan akan diambil segera terhadap peniaga yang menaikkan harga secara berlebihan dan melanggar Akta Antipencatutan 2010,” tambahnya. KOSMO! ONLINE