KUANTAN – Kejadian seorang bayi cedera selepas terjatuh ketika keluarganya dikejar sekumpulan monyet di Teluk Cempedak, November tahun lalu menjadi igauan ngeri kepada pengunjung pusat peranginan berkenaan.
Kehadiran haiwan berkenaan yang kini dianggarkan lebih 50 ekor menjadi ancaman bukan sahaja daripada segi keselamatan, malahan harta benda.
Tinjauan Kosmo! di pantai peranginan berkenaan mendapati, terdapat beberapa kumpulan monyet berkeliaran di sekitar pantai dan tong-tong sampah mencari makanan.
Malah, sesekali dilihat ketenangan pengunjung beriadah di situ dikejutkan dengan tindakan agresif monyet jantan yang merampas minuman dipegang kanak-kanak.
Seorang pengunjung, Wan Rafidah Wan Razali, 45, berkata, kewujudan monyet yang banyak di kawasan itu menyebabkan dia serta keluarga berasa tidak selesa selain bimbangkan keselamatan masing-masing.
“Dahulu monyet tidak banyak berkeliaran seperti ini tetapi sekarang semakin menjadi-jadi dan berani pula datang menghampiri pengunjung untuk mencuri makanan selain terdapat monyet yang garang sehingga mengancam pengunjung.
“Keadaan ini menyebabkan pengunjung berasa tidak selamat lagi berkunjung ke Teluk Cempedak apatah lagi yang membawa anak-anak kecil,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sehubungan itu, dia memohon pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya dengan kadar segera dan tidak menunggu sehingga berlaku tragedi diserang monyet barulah hendak bertindak.
Ujarnya, kehadiran haiwan berkenaan juga akan menjejaskan sektor pelancongan di Teluk Cempedak apabila pelancong tidak lagi mahu datang beriadah di kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, seorang pekerja sebuah restoran makanan segera, Nor Ain Abdul Mubin, 29, berkata, kewujudan banyak monyet yang berkeliaran di kawasan pantai dan premis-premis perniagaan berlaku sejak dua tahun lalu.
“Makanan sememangnya tidak boleh ditinggalkan di atas meja kerana pasti akan dicuri monyet. Malah, tindakan orang ramai yang memberi makanan kepada haiwan berkenaan juga menyebabkan lebih banyak monyet datang ke sini,” ujarnya.