SHAH ALAM – Tindakan 34 premis makanan yang menyebabkan urungan lipas, lalat dan tikus (LILATI) mengundang padah apabila diarah tutup serta merta, kelmarin.
Kesalahan itu dikesan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) yang melaksanakan Operasi Sanitasi di seluruh negeri ini, bermula kira-kira pukul 6 petang.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman berkata, operasi khas itu dijalankan pihaknya bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) antaranya Petaling, Klang, Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Sepang.
Katanya, pelaksanaan operasi itu bertujuan memastikan premis yang beroperasi sehingga lewat malam mengekalkan tahap kebersihan optimum bagi mengelak kes keracunan makanan.
“Sebanyak 207 premis makanan diperiksa dan 34 diarahkan tutup kerana urungan LILATI selain mendapat markah dimerit yang amat rendah.
“Selain itu, 263 notis 32B turut dikeluarkan kepada semua pemilik premis tersebut dibawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009 dengan nilai kompaun keseluruhan RM167,300,” katanya dalam kenyataan hari ini. -KOSMO!ONLINE