PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Mohd. Nafuzi Zain mempertahankan persembahan anak buahnya selepas terikat 0-0 dengan Negeri Sembilan semalam.
Ketua jurulatih muda berkenaan sebaliknya menyifatkan aksi anak-anak buahnya hampir sempurna dan hanya dikecewakan ketumpulan penyudah di depan gawang lawan.
Begitu pun, Nafuzi enggan meletakkan kesalahan itu di bahu penyerang mereka, Kipre Tchetche dan Kpah Sherman yang kini bergelut dengan masalah prestasi sejak bersama skuad Sang Penyu musim ini.
“Secara keseluruhan kami bermain cukup baik. Dari minit pertama semuanya sempurna tetapi kelemahan TFC adalah untuk ‘meletakkan’ bola di dalam jaring gol Negeri Sembilan.
“Memang rugi (seri) selepas tewas aksi terakhir dan memang kami berharap untuk menang namun secara keseluruhan TFC telah bermain dengan baik,” katanya sewaktu ditemui selepas perlawanan kelmarin.
Nafuzi berkata, beliau akan mencari mekanisme bagi meningkatkan semula ketajaman barisan serangannya.
Dalam perkembangan sama, beliau menafikan skuad bimbingannya berada dalam keadaan tekanan dengan rekod jaringan Tchetche dan Sherman dalam kempen musim ini menerima kritikan penyokong sendiri.
“Jika pemain-pemain tertekan kami tidak akan mampu mempamerkan prestasi bagus seperti malam ini (kelmarin). Saya lihat motivasi pasukan lebih baik berbanding sebelum ini.
“Walaupun gagal menjaringkan gol, saya lihat Tchetche dan Sherman tetap memberi sumbangan kepada pasukan ini,” tambah Nafuzi lagi.
Keputusan itu menyaksikan TFC sekadar mengutip satu mata daripada dua perlawanan terakhir setelah tumpas 1-2 kepada Penang FC minggu lalu untuk berada di tangga ketujuh dengan 10 mata.