ARAU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berharap peniaga tidak lagi mengenakan caj pemprosesan ayam kepada pembeli setelah harga siling runcit ayam standard baharu dinaikkan kepada RM9.40 sekilogram bermula esok.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, peniaga sebelum ini memberi alasan caj pemprosesan terpaksa dikenakan semasa harga siling RM8.90 kerana mendapat bekalan pada harga sama.
Katanya, tiada peraturan atau kesalahan berkaitan caj pemprosesan, namun pengguna juga perlu bijak memilih peniaga yang tidak mengenakan caj atau menetapkan caj lebih rendah.
“Harga RM9.40 sekilogram dicapai setelah melakukan advokasi dan libat urus dengan pemain industri, persatuan pengguna dan juga Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).
“Secara keseluruhan, harga ini dipersetujui semua pihak yang terlibat. Kita tidak boleh beri harga yang murah sampai industri tidak mampu untuk mengeluarkan bekalan ayam,” katanya.
Semalam, kerajaan mengumumkan harga siling runcit ayam standard ditetapkan pada RM9.40 sekilogram sementara telur naik dua sen bagi setiap gred berkuat kuasa 1 Julai. – KOSMO! ONLINE