KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau menuding jari kepada bekas Setiausaha Eksekutifnya, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly berhubung pembayaran kad kredit menggunakan cek Yayasan Akalbudi, demi ‘melepaskan tengkuk sendiri’.
Presiden UMNO turut menafikan cadangan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran bahawa beliau berbohong di mahkamah sewaktu memaklumkan tidak mengetahui pembayaran kad kredit telah dijelaskan oleh Mazlina.
Bekas Timbalan Perdana Menteri pada perbicaraan lalu memberitahu Mazlina cuai kerana menggunakan cek Yayasan Akalbudi untuk membayar hutang kad kredit dan kecuaian itu diakui sendiri oleh bekas pegawainya.
Ketika disoal balas, Raja Rozela mencadangkan beliau yang sebenarnya mengarahkan Mazlina membayar hutang kad kredit mengunakan dana yayasan.
Ujar Raja Rozela, perkara itu tidak dinyatakan ketika percakapannya dirakam oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Raja Rozela: “Saya katakan kamu tidak beritahu sepatah perkataan pun kepada SPRM ketika kenyataan kamu direkodkan sebab kamu sendiri yang membenarkan Mazlina guna cek yayasan untuk membayar kad kredit itu?”
Ahmad Zahid: “Tidak setuju.”
Pada sesi soal balas, Ahmad Zahid juga tidak bersetuju dengan cadangan Raja Rozela bahawa beliau mempunyai peluang keemasan untuk menjelaskan kepada SPRM dan menafikan penglibatannya berhubung pembayaran kad kredit peribadi. – KOSMO! ONLINE