LARUT – Seorang warga emas lelaki yang dipercayai hilang empat hari lalu selepas keluar dari rumahnya di Sungai Malau Luar, Kubu Gajah ditemui selamat pada pukul 10.50 pagi tadi.
Kamaruddin Hassan atau lebih dikenali dengan panggilan Pak lang Kama, 67, keluar dari rumahnya pada pukul 7 pagi, Isnin lalu dengan memakai kain pelikat berwarna coklat ke dusun yang terletak di belakang rumahnya untuk menjaga durian.
Difahamkan, mangsa turut menghidap pelbagai jenis penyakit antaranya kencing manis, darah tinggi, buah pinggang dan lemah ingatan.
Jurucakap bomba berkata, pihaknya memulakan operasi mencari dan menyelamat sejak hari pertama mangsa dilaporkan hilang, namun lelaki itu gagal ditemui.
“Operasi kemudian ditangguhkan pada tengah malam hari pertama mamgsa dilaporkan hilang atas nasihat polis.
“Misi mencari dan menyelamat diteruskan setiap hari hingga hari keempat (hari ini) dan kawasan pencarian diperluaskan dalam radius empat kilometer dari lokasi mangsa hilang,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE.