SEJAK bergelar seorang ibu sekitar lima bulan lalu, cerita tentang anak sulung Neelofa iaitu Muhammad Bilal tidak pernah sepi dari radar dunia hiburan tanah air.
Meskipun wajahnya belum dapat ditatap umum, pelbagai cerita manis tak kurang juga pahit yang dilemparkan kepada Neelofa, 33, termasuk keputusannya menyembunyikan sementara wajah anak sulungnya itu.
Manakan tidak, ada sahaja yang mempertikaikan keputusannya sehingga terdapat individu memperlekehkan tentang penyakit ain kerana tidak boleh dilihat pada mata kasar.
Tidak kisah dengan semua kata-kata negatif tersebut, pemilik nama penuh Noor Neelofa Mohd. Noor itu kekal teguh dengan pendiriannya untuk menanti detik yang sesuai bagi berkongsi wajah putera kesayangannya.
Ikuti temu bual bersama bekas pengacara MeleTOP itu tentang tohmahan masyarakat mengenai penyakit ain dan pendedahannya yang ingin berhijrah ke Tanah Arab untuk mencari ilmu.
KOSMO!: Apa pandangan Neelofa tentang terdapat segelintir individu yang mempertikaikan keputusan anda belum berkongsi wajah Bilal?
NEELOFA: Kalau netizen mempertikaikan mengenai perkara tersebut, sebenarnya mereka mempermainkan kewujudan penyakit ain. Bukan sindir saya.
Saya tidaklah arif sangat mengenai perkara ini dan penyakit ain ada dalam hadis sahih, tetapi saya rasa mungkin boleh melangkaui takdir.
Mungkin anda boleh kongsi sebab utama memilih menyembunyikan wajah Bilal sedangkan ramai selebriti berkongsi foto anak mereka secara terbuka.
Walaupun netizen mengecam, saya akan tetap lakukannya demi kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan Bilal. Tunggu dan berilah masa sehingga Bilal besar sedikit.
Saya bukanlah mahu sorok atau tutup terus muka Bilal. Dia juga akan melalui zaman kanak-kanak seperti orang lain.
Macam Elly Mazlein sebut sebelum ini, dia nampak anaknya lebih ceria dan gembira ketika di sekolah kerana orang tidak mengenalinya anak siapa.
Perlu ambil berat kesihatan mental kanak-kanak juga. Mungkin jika pergi mana-mana, kena serbu atau ada yang mahu bergambar, kasihan nanti.
Mengenai hasrat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang bahasa di Tanah Arab, boleh kongsi bila perkara tersebut akan menjadi realiti?
Insya-Allah jika ada rezeki, mungkin kami sekeluarga akan ke sana pada awal atau pertengahan tahun depan. Paling lama pun mungkin setahun kami akan menetap di sana. Saya nak tunggu Bilal pandai cakap sedikit.
Mengapa memilih untuk mempelajari dan mendalami bahasa Arab berbanding bahasa lain?
Saya memang dah lama teringin nak belajar bahasa Arab. Bagi saya, kalau dapat kuasa bahasa Arab, ada nilai tambahnya terutama buat orang Muslim.
Kita solat pun guna bahasa Arab. Begitu juga mengaji al-Quran, taklim atau baca kitab-kitab bahasa Arab yang sesetengahnya tidak ada dalam bahasa Melayu. Banyak manfaat jika kita boleh kuasai bahasa ini.
Pendapat anda apabila masih dipilih oleh jenama mewah antarabangsa untuk mempromosikan produk mereka?
Sebenarnya ketika awal berniqab, saya masih buat untuk beberapa jenama. Mereka sangat terbuka menerima imej sebegini menjadi sebahagian daripada fesyen. Alhamdulillah, semua okey.