KUANTAN – Seorang wanita dilaporkan hilang dikhuatiri terjun ke dalam Sungai Kuantan berdekatan Esplanade Benteng di sini hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 10.30 pagi berhubung seorang wanita disyaki hilang di lokasi belakang restoran makanan segera di Esplanade Benteng.
“Maklumat daripada polis mengatakan mangsa tidak pulang ke rumah selepas mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan di sini
“Polis turut menjumpai satu beg dan selipar milik mangsa di lokasi terbabit,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, susulan laporan berkenaan, seramai tujuh anggota bersama dua pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan bergegas ke lokasi kejadian.
“Operasi mencari dan menyelamat mangsa dilancarkan serta-merta di sekitar sungai tersebut dengan menggunakan sebuah bot,” katanya. – KOSMO! ONLINE
Mana-mana individu yang mempunyai masalah kemurungan atau menghadapi tekanan boleh menghubungi Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) di 03-29359935 atau 014-3223392 atau Talian Kasih 15999/WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999.