SHAH ALAM – Kejadian pencemaran Sungai Chandong Pulau Indah di sini dipercayai dilepaskan pihak tidak bertanggungjawab ke dalam longkang sebelum mengalir masuk ke kawasan kolam tadahan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) seterusnya ke sungai tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian berkata, ini susulan hasil siasatan lanjut pihaknya yang mengesan dan menemukan permulaan lokasi efluen berwarna merah tersebut di dalam longkang berhadapan sebuah premis di Jalan Sungai Pinang.
Katanya, penemuan ini juga susulan maklumat orang awam yang mengesyaki terdapat aktiviti pembuangan efluen di kawasan perindustrian Pulau Indah, Klang.
“Anggaran jarak longkang tersebut ke lokasi pencemaran adalah sekitar 1.32 kilometer.
“Hasil penelitian LUAS, insiden ini adalah disebabkan oleh perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab membuang bahan buangan ke dalam longkang berikutan tiada penemuan punca aliran berwarna merah ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, LUAS terdahulu menerima maklumat awam berhubung air berwarna merah di Sungai Chandong lewat petang semalam yang tular di laman media sosial.
Tambah Loy Sian, siasatan segara LUAS turut mendapati mendapati keadaan aliran air sungai telah kembali normal berikutan air pasang dan dipercayai insiden tersebut telah berlaku pada awal pagi.
“LUAS telah menjalankan pensampelan untuk dianalisis di makmal bagi mengenal pasti kualiti dan kandungan pencemaran tersebut.
“Pemantauan rapi dari semasa ke semasa akan diteruskan oleh LUAS bersama pihakpihak terlibat bagi memastikan sumber air negeri ini terpelihara,” katanya.
Kosmo! Online terdahulu melaporkan Sungai Chandong Pulau Indah di sini tular bertukar merah menggemparkan penduduk sekitar terutama kaki pancing. -KOSMO!ONLINE