SEBERANG PERAI – Seorang bekas pekerja kantin terpaksa menjalani hukuman penjara selama enam bulan selepas didapati bersalah mengugut dan menyimbah cat di kawasan rumah seorang lelaki di Perai Februari lalu.
Adik tirinya yang turut terlibat dalam kejadian itu bagaimanapun dibenarkan untuk diikat jamin sebanyak RM3,000 sementara menunggu laporan sosial dikeluarkan pada 10 Ogos ini.
Difahamkan, laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu nanti akan digunakan sebelum sebarang hukuman dijatuhkan kerana tertuduh pada ketika itu dianggap masih berada di bawah umur.
Terdahulu, kedua-dua tertuduh iaitu Muhamad Shahmirul Syafit Abdullah, 28, dan Muhamad Shahmirul Shahzwan Nik Haron, 18, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini secara berasingan, namun dibicarakan atas pertuduhan yang sama.
Muhamad Shahmirul Syafit yang memakai baju lokap berwarna jingga tiba hampir dua jam lebih awal di pekarangan Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini berbanding adik tirinya yang tiba dengan ditemani anggota polis berpakaian preman.
Ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurulrasyidah Mohd. Akit, kedua-dua tertuduh bagaimanapun mengaku bersalah atas perbuatan berkenaan.
Mengikut pertuduhan, pada 25 Februari lalu, kedua-dua tertuduh yang berkhidmat sebagai pembantu kepada pemberi pinjaman wang tidak berlesen didapati telah mengganggu penama, Mohd. Shafrizal Safardeen, 39 dengan menyimbah cat di rumah mangsa.
Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 2 pagi di sebuah rumah di Lorong Siakap 6, Taman Siakap dalam daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di sini.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 29B (4), Akta Pemberi Wang Pinjam (APPW) 1951 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM50,000 dan tidak lebih daripada RM250,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali selain dikenakan sebatan jika kes tersebut berulang selepas ini.
Kes dikendalikan dua Timbalan Pendakwa Raya iaitu Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali dan Norafifah Mohd. Shokri manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Difahamkan juga, dua beradik tiri itu hanya menerima upah sebanyak RM350 untuk melakukan kerja mengugut serta menyimbah cat tersebut. KOSMO! ONLINE