KUALA LUMPUR – Tindakan tegas akan diambil terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) yang gagal untuk pulang ke negara asal masing-masing menjelang pukul 12 tengah malam ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata pengumuman Program Rekalibrasi Pulang terhadap PATI dan tenaga kerja asing yang berada di negara ini itu dilaksanakan pada 16 November 2020.
“Hari ini, 30 Jun 2022 adalah hari terakhir untuk semua PATI serta tenaga kerja asing mendaftar pulang yang mana kebanyakan mereka diberikan kebenaran bekerja semula dan selebihnya memilih untuk pulang.
“Sesiapa sahaja yang tidak pulang selepas ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan kesan melalui operasi secara besar-besaran,” ujarnya dalam sidang akhbar di Bukit Aman, di sini hari ini.
Terdahulu, akhbar melaporkan seramai 282,581 PATI sudah berdaftar untuk pulang secara sukarela sehingga 23 Jun lalu.
Daripada jumlah berkenaan seramai 243,279 PATI telah dihantar pulang ke negara masing-masing.
Program itu diperkenalkan tahun lalu bagi memberi peluang kepada PATI untuk pulang atau bekerja di negara ini. – KOSMO! ONLINE