fbpx

Presiden parti politik ditahan disyaki dalang pemalsuan kad data

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hamzah menunjukkan kad perlindungan palsu yang disediakan sindiket penipuan di Sabah.

KUALA LUMPUR – Seorang presiden parti politik serta seorang lelaki ditahan pada Rabu lalu selepas dipercayai menjadi dalang sindiket pemalsuan kad data melibatkan individu tiada taraf kewarganegaraan di Sabah.

Penggunaan kad itu dibongkar selepas sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Selangor menahan dua suspek berkenaan di kediaman mereka sekitar Subang Jaya pada Rabu lalu.

Difahamkan, kad perlindungan terbabit didakwa mempunyai kod QR yang disertakan permohonan kewarganegaraan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mengaburi mata mangsa.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, sindiket yang beroperasi sejak awal tahun ini itu mengenakan bayaran sebanyak RM400 hingga RM1,000 bagi mendapatkan kad data berkenaan.

“Selain itu, sindiket itu juga mendakwa kad perlindungan yang diberikan dapat digunakan bagi mendapat manfaat seperti warganegara termasuk pendidikan, perubatan dan kemudian diberikan kad pengenalan,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hamzah memaklumkan kedua-dua suspek terbabit telah dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan pagi tadi.

Sementara itu, sehingga kini seramai 400 mangsa dikesan berdasarkan dokumen yang dirampas.

Tambah Hamzah, orang ramai terutama warga asing diingatkan supaya tidak terpedaya dengan sindiket penipuan itu susulan hanya empat kad pengenalan yang sah dikeluarkan di negara ini.

“Untuk menjadi penduduk di negara ini kita ada empat kad pengenalan, pertama kad pengenalan berwarna biru yang diberikan kepada warganegara Malaysia.

“Yang kedua ialah kad pengenalan berwarna merah diberikan kepada penduduk tetap, ketiga kad pengenalan berwarna hijau iaitu pemastautin sementara berstatus bukan warganegara dan keempat adalah kad pengenalan berwarna coklat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI