KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta bagi meningkatkan latihan dan pembangunan kompetensi warga pendidiknya tahun ini.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, inisiatif itu diharap dapat memastikan kualiti pendidikan di Institusi Pendidikan Mara (IPMA) sentiasa relevan dan setanding dengan tahap pendidikan di negara-negara maju.
“Inisiatif ini adalah amat penting bagi memperkasakan ilmu dan kemahiran warga pendidik MARA untuk setaraf dengan pendidik dari luar negara khususnya yang tersenarai dalam Ivy League seperti di Oxford dan Harvard Universiti,” katanya selepas Majlis Sambutan Hari Pendidik MARA 2022 di sini hari ini.
Tambahnya, seramai 4,336 warga pendidik MARA telah ditawarkan peluang melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PHD), Sarjana, Sijil Profesional, Sijil Kemahiran dan Diploma Pendidikan sejak dari tahun 2002 hingga 2020.
Selain itu, jelasnya, MARA juga sentiasa komited dan peka bagi memastikan pelajar IPMA belajar dalam suasana kondusif dan melalui penjagaan kebajikan serta menaiktaraf kemudahan infrastruktur di pusat pendidikan MARA.
“Fasiliti pusat pendidikan yang lengkap amat penting bagi menjamin keselesaan kepada 110,210 orang pelajar IPMA di seluruh negara untuk menjadikan pembelajaran mereka lebih efisien dan sistematik.
“Kita juga memberi penekanan tinggi terhadap mobiliti pelajar-pelajar MARA ke peringkat antarabangsa agar tidak terhenti atau ditangguhkan menerusi program tajaan pelajaran ke luar negara dalam pelbagai bidang yang melibatkan 1,500 orang setakat ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE