fbpx

Pekebun jamu 40 pelajar tahfiz makan pulut durian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian pelajar tahfiz teruja apabila dapat menikmati hidangan pulut durian di Kampung Beta Hilir, Kota Bharu hari ini. - Foto oleh ROHANA MOHD. NAWI

KOTA BHARU – Seramai 40 pelajar Pusat Tahfiz Pondok Muhammadiah, Beta Hilir teruja apabila berpeluang menikmati hidangan pulut durian secara percuma yang disumbang oleh pemilik kebun di Kampung Beta Hilir di sini, hari ini.

Pemilik kebun durian, Sidi Ahmad Mohd. Nor berkata, dia menyediakan kira-kira 300 kilogram (kg) durian dan 10kg santan untuk hidangan pelajar tahfiz selain penduduk sekitar yang melalui kawasan tersebut.

Katanya, idea untuk menjamu pulut durian kepada pelajar tahfiz tercetus kerana hasratnya untuk bersedekah kepada pelajar yang tinggal berjauhan dengan keluarga mereka.

“Beberapa rakan saya turut membantu menyediakan 300kg durian pelbagai jenis termasuk durian kunyit.

“Saya berhasrat untuk bersedekah apabila buah pertama gugur baru-baru ini. Jadi saya mahu memberi mereka (pelajar tahfiz) makan sepuas-puasnya sebelum menjual hasil kebun ini,” katanya ketika ditemui pada majlis jamuan itu di Beta Hilir di sini hari ini.

Sidi Ahmad berkata, jamuan untuk pelajar tahfiz itu diadakan secara berperingkat bermula 10 pagi hingga 4.30 petang.

Katanya, dia berpuas hati kerana semua pelajar dapat menikmati buah durian itu secara percuma dan majlis seperti ini akan diteruskan pada masa akan datang.

Seorang pelajar Tahfiz yang juga anak yatim piatu, Afdal Mat Junoh, 14, berkata, dia teruja menikmati hidangan pulut durian secara percuma hari ini.

“Sudah lima tahun saya tidak makan pulut durian selepas kehilangan ibu bapa. Sebelum ini saya dijaga ibu saudara saya sebelum masuk ke sini (pusat tahfiz). Seronok dan puas daapt makan (durian),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI