PETALING JAYA – Seorang pesakit mengambil keputusan mahu berjumpa bidan untuk mengurut kononnya membetulkan rahim, selepas dia disahkan kandungan luar rahim.
Kisah itu dikongsikan seorang pegawai perubatan swasta, Dr. Ahmad Samhan menerusi akaun Twitter yang menceritakan, wanita berusia 20-an itu pada awalnya ke bahagian kecemasan serta mengadu sakit perut.
“Pada mula ingat keracunan makanan dan bila dibuat ujian kehamilan rupanya positif. Barulah dia sedar dia tak datang haid lebih sebulan. Ingatkan biasa sebab haid memang tak menentu,” katanya pada hantaran tersebut.
Bagaimanapun, sewaktu menjalani ultrasound, rahim wanita itu kosong dan apabila beralih ke sebelah kanan, ada ‘bengkak’ di kawasan tiub fallopian dan ‘free fluid’ di rongga badan.
“Kandungan luar rahim dan kemungkinan besar darah dari kandungan luar rahim telah pecah. Tekanan darah si ibu masih stabil. Hasil pemeriksaan doktor sakit puan disahkan mengandung luar rahim dan perlu menjalani pembedahan segera,” ujarnya.
Dr. Ahmad Samhan berkata, pesakit itu memberitahu suaminya masih dalam perjalanan dari Johor serta tiada keluarganya bersama.
Ujarnya lagi, ibu pesakit itu menyuruhnya pulang serta berjumpa dengan bidan untuk mengurut kononnya membetulkan rahim supaya kandungan boleh masuk ke dalam rahim.
“Terus ‘biru’ muka doktor sakit puan dengan keputusan dibuat pesakit. Dalam 30 minit kemudian, denyut nadi semakin naik, tekanan darah semakin turun dan muka semakin pucat. Dia rasa nak pitam,jantung berdenyut laju serta perut terasa perit,” ujarnya.
Katanya, pesakit itu kemudian bersetuju melakukan pembedahan dan hasilnya, dia hilang darah hampir empat liter serta dapat diselamatkan namun, kandungan dan tiub fallopion di sebelah kanan terpaksa dibuang. -KOSMO! ONLINE