fbpx

Jenazah lima beranak dikebumi dalam satu kubur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ibu Muhammad Rosli Ibrahim, Rakiah Md. Noh menyiram air di kubur lima beranak yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Labu Kubong, Lubok Merbau, Padang Rengas hari ini.

PADANG RENGAS – Jenazah lima beranak yang terkorban dalam nahas di Jalan Kuantan-Segamat dekat Kampung Pulau Manis Gambang, Pahang petang semalam selamat dikebumikan dalam satu kubur sebentar tadi.

Jenazah Muhammad Rosli Ibrahim, 32, dan isteri, Nor Afiqah Abdullah Sani, 35, serta tiga anak mereka, Nur Safwa Irdina, 7; Nur Sofea Raida, 6; dan Muhammad Rizqi, 18 bulan, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Labu Kubong, Lubok Merbau pada pukul 10 malam.

Terdahulu, jenazah lima beranak itu tiba di kediaman ibu Muhammad Rosli di Labu Kubong sekitar pukul 8.25 malam dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan dengan menggunakan tiga buah van jenazah.

Jenazah kesemua mereka sebelum itu disembahyangkan di rumah ibu mangsa selepas solat Maghrib sebelum dibawa ke tanah perkuburan yang terletak kira-kira 500 meter.

Lebih 300 orang menghadiri majlis pengebumian jenazah lima beranak berkenaan terdiri daripada ahli keluarga, rakan dan penduduk kampung.

Turut hadir pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, IPK Pahang, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian dan IPD Kuala Kangsar.

Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan tersebut apabila ahli keluarga pasangan suami isteri itu dilihat tidak dapat menahan sebak dan menangis sambil berpelukan.

Nahas sekitar pukul 3.40 petang itu dipercayai berlaku selepas kereta jenis Toyota Corolla dipandu Muhammad Rosli bertembung dengan sebuah treler tanpa muatan dipandu lelaki berusia 26 tahun.

Siasatan awal mendapati, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta dinaiki kesemua mangsa yang datang dari arah Muadzam Shah memasuki laluan treler yang berada di laluan bertentangan.

Berikutan jarak yang terlalu dekat, pemandu treler tersebut gagal mengelak ke kiri jalan dan telah melanggar di bahagian hadapan kereta berkenaan.

Kesemua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu dan kelindan treler tidak cedera. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI