KUALA LUMPUR – De’Xandra, syarikat haruman popular di negara ini, melancarkan kempen tanggungjawab sosial korporatnya (CSR), Mental Health Awareness bertemakan De’Xandra Heals The World sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran kepada masyarakat tentang situasi kesihatan mental yang kian meruncing.
Pengasas syarikat, Ernayanee Nur Julaimi berkata, kempen yang berlangsung sepanjang tahun ini melibatkan penyertaan pihak pengurusan, rakan strategik, stokis, pengedar, selebriti dan dropship yang beroperasi di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei.
Menurut beliau, kempen CSR itu diadakan serentak dengan pelancaran rasmi wangian koleksi selebriti yang diadakan di sini baru-baru ini.
“Sebelum ini, kebanyakan program CSR De’Xandra yang menjadi agenda tahunan lebih tertumpu kepada kebajikan, pengurusan bencana, pembangunan sahsiah dan ekonomi.
“Tetapi kali ini, kami mengangkat isu kesihatan mental kerana terdapat peningkatan signifikan dalam kes bunuh diri dalam negara, malah di peringkat global,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena majlis pelancaran wangian koleksi selebriti De’Xandra dan kempen CSR di sini.
Pada majlis tersebut, syarikat melancarkan wangian koleksi selebriti daripada cetusan idea dan kerjasama dengan artis Bella Astillah serta pereka fesyen, Rico Rinaldi.
“Rico Rinaldi mengetengahkan mesej penting dalam nilai persahabatan, manakala wangian Bella Astillah yang tampil merah, diibaratkan warna rona cinta dalam memberi suntikan semangat baharu kepada mereka yang memerlukan termasuk golongan yang menghidapi masalah awal kesihatan mental,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif De’Xandra, Safwan Ismail menerangkan, melalui koleksi baharu ini, ia menjadi satu inisiatif bagi syarikat untuk mempelbagaikan pilihan buat penggemar wangian dan meraikan peminat baharu.
“Koleksi pilihan selebriti ini juga akan menggalakkan para pengedar terus aktif meneruskan perniagaan.
“De’Xandra sentiasa membuka peluang perniagaan kepada usahawan yang ingin bersama dengan kami.
“Sehingga kini, syarikat telah melahirkan usahawan termasuk wakil pengedar seramai 30,074 orang dengan peningkatan 65 peratus sejak 2020 sehingga sekarang,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE