fbpx

Dua beranak hidup susah dalam stor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZUHAILA sanggup tinggal di stor kedai makan peninggalan arwah bapanya di Kampung Paya, Teluk Kumbar, Balik Pulau sejak empat tahun lalu berikutan kesempitan hidup.

BALIK PULAU – Seorang ibu tunggal sanggup membesarkan anak perempuannya yang ber­usia enam tahun di sebuah stor kedai makan di Kampung Paya, Teluk Kumbar di sini, sejak empat tahun lalu berikutan kesempitan hidup yang dialaminya.

Zuhaila Mat Isa, 46, yang juga peniaga makanan bergoreng secara kecil-kecilan itu dikatakan terpaksa berteduh di ruang bilik yang sempit disebabkan kurang berkemampuan untuk tinggal di kediaman lebih selesa selain punca pendapatan yang tidak menentu.

Katanya, dia mengusahakan perniagaan tersebut demi menampung kos sara hidup dan persekolahan anak tunggalnya itu.

“Saya sikit pun tak berasa malu tinggal di setor kedai makan ini, yang pasti, saya gembira serta puas melihat anak gembira dan cukup makan.

“Setor ini dahulunya adalah ruang dapur kedai milik arwah bapa dan saya telah ubah suai menjadi tempat tinggal untuk kami dua beranak berteduh de­ngan kos RM6,000, yang masih dibayar secara ansuran kepada tukang rumah.

“Untung hasil berniaga juga tidak menentu, antara RM10 hingga RM40 sehari. Itupun susah nak dapat berbanding sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu, memang ramai pelanggan datang membeli,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini kelmarin.

Terdahulu, ‘kediaman’ Zuhaila yang dibina dengan tembok simen dan tingkap berjaring besi itu dikunjungi sukarelawan Nek Norbi kira-kira pukul 2 petang kelmarin.

Cerita Zuhaila lagi, dia kini terpaksa tutup perniagaan buat sementara waktu bagi menguruskan ibunya yang dikatakan sedang mengalami masalah kesihatan termasuknya yang menghidap asma.

“Hampir dua bulan tidak berniaga, memang terputus terus sumber pendapatan.

“Saya terpaksa menjual tong gas berharga RM70 dan kelengkapan lain seperti peti ais untuk tampung hidup. Saya kini bergantung wang yang disumbangkan atau dipinjamkan daripada orang terdekat. Jika nilainya RM5 atau RM10, saya akan guna sebaik mungkin termasuk dijadikan modal membeli kelengkapan perniagaan.

“Sekiranya ada kelapangan, saya juga sanggup berpanas terik mencari kepah di laut untuk dijual pada harga RM5 sekilogram kepada penduduk kampung,” jelasnya.

Justeru, Zuhaila juga menaruh harapan untuk dapat tinggal di kediaman yang lebih selesa atas faktor kesihatan dan masa depan anaknya yang masih kecil.

Orang ramai yang ingin meng­hulurkan bantuan boleh meng­hubungi Zuhaila di talian 017-5521808 atau bantuan terus ke akaun CIMB 7600774048 (Zuhaila Mat Isa). -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI