KUALA LUMPUR – Seramai 45,230 pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kembali bekerja menerusi program Return to Work (RTW) setakat Mei lalu.
Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Perkeso, John Riba Marin berkata, daripada jumlah itu, lebih lima peratus atau 2,200 pencarum menceburkan diri dalam bidang keusahawanan dan perniagaan sejak RTW ditubuhkan pada 2007.
Menurutnya, RTW bukan sahaja membantu pekerja yang ditimpa bencana kembali ke alam pekerjaan, malah turut membuka jalan kepada mereka untuk menceburi bidang perniagaan.
“Peserta turut dibantu dalam aspek pengkomersilan dan pemasaran produk menerusi pelbagai saluran termasuk rancangan RTW SHOP yang disiarkan di platform media sosial.
“Misalnya projek jualan biskut raya oleh tiga peserta RTW yang disiarkan menerusi RTW SHOP pada April lalu berjaya membantu RTWPreneur menjana pendapatan dengan keuntungan kasar RM10,000 apabila hampir 1,000 balang biskut raya berjaya dijual,”katanya pada pertandingan MasterChef Return To Work di Kolej Komuniti Selayang di sini hari ini.
Dalam pertandingan itu, Mohd. Asri Mohd. Sharap yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan dinobatkan sebagai pemenang yang pertandingan julung kali diadakan itu.
Dia yang sebelum ini bekerja sebagai cef di sebuah restoran di ibu kota terpaksa melupakan kariernya selepas ditimpa kemalangan tahun lalu sewaktu pulang dari tempat kerja.
Menurut bapa kepada dua anak itu, selama lebih setahun tidak bekerja, Perkeso banyak membantunya meneruskan kelangsungan hidup menerusi pampasan dan beberapa bantuan yang telah disalurkan.-KOSMO! ONLINE.