SEBERANG PERAI – Seorang penunggang wanita terkorban selepas motosikal ditungganginya terbabas di kilometer 121.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah Utara dekat Kepala Batas di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 petang itu, mangsa, Yumashatina Mohamad Yusof, 30, ditemui meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecedeeaan parah pada badan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisiner Noorzainy Mohd. Noor berkata, siasatan pihaknya mendapati kemalangan itu membabitkan sebuah motosikal jenis Benelli 150 yang ditunggangi oleh pekerja restoran makanan segera itu dari arah Sungai Dua menuju Bertam di sini.
“Mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum motosikal terbabas dan terjatuh di dalam longkang di tengah lebuh raya.
“Akibat kejadian itu, mangasa meninggal dunia di lokasi kejadian dan dia didapati mengalami kecederaan pada kepala dan kaki,” katanya kepada pemberita hari ini.
Noorzainy berkata, hasil bedah siasat di Hospital Kepala Batas di sini mendapati mangsa yang beralamat di Sungai Petani, Kedah itu maut akibat kecederaan parah pada dada dan perut.
Sementara itu, beliau turut menyeru orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut untuk tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat di talian 011-29697676 bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE