BARU-BARU ini, ketika penulis berada di sebuah bank untuk satu urusan, tiba-tiba masuk seorang wanita warga emas dan terus meluru untuk berjumpa pagawai yang bertugas tanpa mengambil nombor giliran.
Semua orang yang berada dalam bank tersebut memandangnya dengan hairan kerana dia seperti mempunyai urusan yang maha penting.
Tidak lama selepas itu, seorang pegawai dilihat melayan wanita berkenaan dan setiap butir bicaranya begitu jelas memandangkan jarak penulis dengannya agak dekat.
Barulah tahu perkara sebenar mengapa dia begitu teruja mahu berjumpa pegawai bank.
Rupa-rupanya wanita itu percayakan panggilan scammer yang diterimanya dengan harapan mendapat wang ratusan ribu ringgit seperti dijanjikan seseorang yang menyamar sebagai pegawai bank.
Daripada apa yang didengar penulis, wanita tersebut menerima panggilan daripada seorang ‘pegawai bank’ yang memintanya memasukkan wang sebanyak RM12,000 ke dalam satu akaun kononnya sebagai yuran bagi mendapatkan AS$80,000 (RM352,000) yang didakwa dikirim seorang individu dari luar negara bagi memulakan perniagaan emas.
Mengucap panjang sebentar penulis dengan gelagat mak cik tersebut yang begitu percaya dia bakal menerima wang sebanyak itu tanpa menyedari dia bakal masuk jerat scammer yang rakus mencari mangsa.
Lama juga pegawai bank itu memaklumkan bahawa itu adalah satu penipuan dan memintanya agar tidak membuat sebarang pemindahan wang, tetapi wanita berkenaan tetap berkeras ia adalah sesuatu yang betul dan menyebut nama pegawai bank yang menelefonnya.
Puas pegawai terbabit mengatakan nama yang diberikan itu bukan kakitangan bank terbabit, tetapi mak cik itu seperti tidak percaya.
Akhirnya pegawai bank tersebut meminta wanita berkenaan membuat laporan polis tentang perkara itu dan dia akhirnya mengalah.
Ini baru satu contoh seorang yang hampir-hampir menjadi mangsa scammer yang saban hari tanpa memikirkan kesusahan orang lain, memasang jerat yang kadangkala sukar untuk dilepaskan mangsa hingga kerugian puluhan ribu ringgit.
Nasib baik juga wanita itu datang ke bank untuk menanyakan perkara itu, kalau tidak dia pun turut menjadi mangsa.
Saban hari, kita membaca berita di akhbar dan media sosial tentang taktik licik scammer yang berjaya memperdayakan ramai mangsa dan mengalami kerugian yang bukan sedikit jumlahnya.
Biarpun sudah banyak kali taktik penipuan seperti ini diuar-uarkan oleh pihak berkuasa seperti polis di akhbar, radio dan televisyen serta media sosial, namun masih ramai yang tidak ambil pusing tentang perkara tersebut dan terus menjadi sebahagian daripada statistik penipuan berkenaan. -KOSMO! ONLINE