PASUKAN badminton Allianz Malaysia Berhad berada pada prestasi terbaik ketika ini untuk berdepan saingan Kejohanan Badminton Terbuka Allianz-Media 2022 yang akan berlangsung esok.
Kejohanan tahunan yang memulakan edisi sulungnya pada 2019 terpaksa ditangguhkan selama dua tahun sebelum ini ekoran penularan wabak Covid-19, namun kembali dianjurkan tahun ini.
Pada kejohanan kali ini, sebanyak tujuh pasukan termasuk pasukan Allianz akan turun berentap merebut gelaran juara sekali gus menyaksikan sambutan diterima lebih hangat apabila hanya lima pasukan bersaing sebelum ini.
Antara pasukan yang akan menyertai kejohanan kali ini adalah The Star, New Straits Times, China Press, Kosmo, Astro dan Sinar Harian.
Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia, Sean Wang memberitahu, kejohanan tersebut dianjurkan adalah bertujuan untuk mewujudkan satu hubungan yang lebih akrab antara syarikat berkenaan dan para pengamal media yang sedia terwujud sebelum ini.
“Kami sentiasa mengharapkan hubungan yang erat bersama rakan-rakan media. Selepas kali pertama dianjurkan, kami terpaksa menangguhkan acara tahunan ini atas alasan yang sama seperti semua orang, penularan Covid-19.
“Selepas keadaan kembali reda dan dalam proses pemulihan, kami memilih untuk kembali meneruskan apa yang tertangguh sebelum ini dengan mengembalikan penganjuran kejohanan ini.
“Allianz sendiri memiliki pemain sosial yang serius meminati badminton, jadi kami memutuskan untuk membuat persiapan rapi bagi kejohanan kali ini.
“Secara keseluruhannya, saya bangga dengan persiapan kami dan berharap dapat memberi saingan yang sengit kepada rakan media kami,” katanya. – KOSMO! ONLINE