BEKAS anggota kumpulan Kara iaitu Park Gyuri berkongsi tentang masalah kesihatan mental yang dialami sejak sekian lama.
Dalam satu temu bual bersama sebuah program televisyen, Gyuri mendedahkan, selama ini dia lebih selesa untuk tidak bercakap tentang hal tersebut kerana enggan dilihat sebagai seorang yang mempunyai masalah mental.
Gyuri juga mendedahkan dia pernah mengambil tindakan membawa diri jauh daripada orang-orang yang dikenali dan memutuskan hubungan dengan mereka.
“Disebabkan perwatakan ceria yang sering saya tampilkan, maka sukar untuk saya berkongsi tentang masalah ini. Saya tidak mahu perkara tersebut memberi kesan kepada anggota kumpulan Kara sebelum ini.
“Sejak dua tahun kebelakangan ini, banyak perkara sukar telah berlaku hingga emosi saya memuncak pada hujung tahun lalu.
“Awal tahun ini saya tinggal di daerah Gangneung selama sebulan dan memutuskan hubungan dengan semua orang. Saya memilih untuk bersendirian,” katanya.
Gyuri juga memberitahu antara punca tekanan yang dialami sejak kecil adalah kerana sentiasa menjaga imej baik dan tidak mahu mencemarkan nama ibunya yang juga merupakan seorang penyanyi.