fbpx

Pemancing berpaut pada bot terbalik selepas dibadai ribut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang pemancing berusia 53 tahun yang ditemui bersama bot miliknya yang terbalik akibat dibadai ribut di perairan Mersing, di sini hari ini.

Oleh KHAIRUL MOHD. ALI

JOHOR BAHRU – Seorang pemancing yang dilaporkan hilang semalam ditemui dalam keadaan berpaut pada bot dinaikinya yang terbalik akibat dibadai ribut di perairan Mersing dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 8.27 pagi itu, mangsa, Suhaimi bin Hashim, 53, berjaya diselamatkan feri yang melalui kawasan perairan 3.5 batu nautika timur laut Pulau Seri Buat, Mersing.

Pengarah Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, mangsa dilaporkan keluar memancing secara solo menaiki bot fiber pada pukul 8 pagi semalam.

“APMM Johor menerima panggilan pada pukul 3.30 pagi memaklumkan seorang pemancing gagal dihubungi selepas keluar memancing di perairan Mersing.

“Pengadu iaitu isteri kepada mangsa memaklumkan suaminya keluar ke laut dari jeti Sungai Jamaluang, Kampung Sri Pantai pada pukul 8.00 pagi semalam, seorang diri dengan menaiki sebuah bot fiber untuk memancing,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nurul Hizam turut berkata, isteri mangsa memaklumkan perhubungan terakhir dibuat rakan mangsa pada pukul 9.30 pagi semalam di mana pada waktu itu, mangsa sedang berehat di Pulau Rawa, Johor.

“Setelah mendapat laporan tersebut, operasi mencari dan menyelamat diaktifkan pada pukul 4 pagi sebelum bot ronda dikejar ke tempat kejadian.

“Pada pukul 9.09 pagi tadi, kami mendapat maklumat mangsa ditemui sebuah feri di kedudukan lebih kurang 3.5 batu nautika timur laut Pulau Seri Buat, Johor pada pukul 8.27 pagi,” ujarnya.

Tambah beliau, dengan penemuan itu, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada pukul 10 pagi tadi sebelum mangsa dibawa ke Kampung Tekek, Pulau Tioman bersama bot miliknya oleh feri berkenaan.-K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI