fbpx

5 maut nahas: Arwah pelawa ibu ke Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR lima sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Segamat dekat Gambang, Pahang semalam.-FOTO/KELUARGA

PADANG RENGAS –  “Dua kali dia mengajak emak ke Pahang tetapi emak tidak mahu pergi.”

Demikian kata Mohd. Yusof Ibrahim, 35, iaitu abang Muhammad Rosli, 32, yang terkorban dalam nahas membabitkan kereta jenis Toyota Corolla dan treler tanpa muatan di Jalan Kuantan-Segamat dekat Gambang, Pahang semalam.

Kemalangan pada pukul 3.40 petang itu turut mengorbankan ister Muhammad Rosli, Nor Afiqah Abdullah Sani, 35, dan tiga anak mereka iaitu Nur Safwa Irdina, 7, Nur Sofea Raida, 6, dan Muhammad Rizqi berusia setahun enam bulan.

Menurut Mohd. Yusof, adiknya yang merupakan anak ke 10 daripada 13 beradik begitu beria-ria mempelawa ibu mereka untuk ke Pahang, namun wanita itu enggan turut serta.

“Dua kali dia (Muhammad Rosli) ajak emak pagi semalam sebelum mereka bertolak. Pada sebelah malam dia ada hubungi emak lagi untuk mengajak. Emak memang tidak pernah mengikut mereka ke Pahang.

“Selalunya ibu mertua dia sahaja yang ikut (sebelum ini) kerana ada saudara-mara di sana tetapi kali ini, ibu mertua dia pun tidak pergi,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga mereka di Kampung Labu Kubong, Lubuk Merbau di sini semalam.

Mohd. Yusof berkata, ibu mereka, Rakiah Md. Noh masih terkejut dan bagai tidak percaya apabila dimaklumkan mengenai nahas yang meragut nyawa lima beranak itu sehinggakan dia terdiam agak lama.

Katanya, dia dan adik-adik beradik lain juga lewat memberitahu kejadian itu kerana ingin mengesahkan mangsa terlibat dalam nahas adalah keluarga adiknya.

“Kami beritahu kejadian sebenar tetapi tidak maklumkan satu keluarga terkorban. Bila dia tanya cucu, barulah kami berterus-terang.

Berita berkaitan: Lima maut kereta bertembung treler

“Emak terkejut dan cakap ‘Ya Allah, anak aku’. Dia macam terpana sebelum menangis,” katanya.

Tambahnya, orang pertama yang tahu mengenai kejadian itu adalah abangnya selepas dimaklumkan oleh rakan-rakannya melalui kumpulan WhatsApp sebelum menghubunginya dan meminta membuat semakan.

“Ketika terima gambar kemalangan, saya hubungi adik ipar tetapi tidak berjawab. Saya hubungi Rosli juga tidak dapat.

“Saya yakin Rosli memang terlibat dalam kemalangan kerana saya cam keretanya. Kereta itu baharu sahaja dibeli dari jiran. Sebab itu, rakan-rakan abang boleh tahu memang Rosli terlibat kerana mereka kenal kereta itu,” katanya yang kali terakhir berjumpa Rosli pada hari raya Aidilfitri lalu.

Jenazah lima beranak itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Labu Kubong di sini selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI