fbpx

Pelajar universiti ditemui meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Polis menjalankan siasatan sejurus menerima maklumat berhubung kejadian. FOTO IHSAN PEMBACA.

SERDANG – Misteri bau busuk sejak beberapa hari lalu akhirnya terungkai selepas mayat seorang pelajar lelaki ditemui di dalam bilik berkunci di sebuah universiti sekitar daerah ini, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada pukul 7.45 petang semalam.

“Kes ini membabitkan seorang pelajar tahun akhir berusia 29 tahun jurusan Sarjana Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi.

“Siasatan awal mendapati, mayat pelajar terbabit ditemui di sebuah bilik di tingkat lima dalam keadaan terlentang di tepi katil.

“Mangsa yang ditemui tidak memakai baju dan hanya berseluar panjang itu difahamkan tinggal di bilik berkenaan seorang diri.

“Pintu juga dalam keadaan berkunci dan tingkap bertutup rapat. Pemeriksaan mendapati barangan berharga seperti komputer riba dan telefon bimbit milik mangsa masih berada dalam bilik tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, saksi ada memberitahu telah pergi ke bilik mangsa pada pukul 4.30 petang kerana telah lama tidak berjumpa dan mendapati bilik mangsa berbau busuk.

“Saksi telah memberitahu felo pelajar sebelum beberapa kakitangan universiti terbabit membuka pintu bilik mangsa menggunakan kunci pendua.

“Sebaik pintu dibuka, mangsa ditemui terbaring dan mereka menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut. Kali terakhir mangsa ditemui adalah pada dua hari lalu, siasatan polis mendapati tiada unsur jenayah dikesan,” jelasnya.

Tambahnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan mayat pelajar terbabit telah di hantar ke Hospital Serdang untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI