KUALA NERUS – Ahli keluarga kepada budak lelaki lima tahun yang meninggal dunia akibat disengat tebuan pada kelmarin berhasrat mengambil tindakan perundangan terhadap pihak didakwa bertanggungjawab.
Bapa mangsa, Mohd. Khalid Omar, 40, mendakwa, dia percaya insiden malang itu boleh dielakkan sekiranya pihak berkuasa tempatan (PBT) cakna memastikan keselamatan penduduk.
Dakwanya, sarang tebuan tanah yang menyengat anaknya berada di bawah sisa rangkat pelantar jeti usang yang dibiarkan sejak empat tahun lalu di kawasan taman permainan berkenaan.
“Rangka pelantar jeti itu tidak sepatutnya berada di kawasan taman permainan berkenaan. Apatah lagi ia bersebelahan gelanggang futsal dan taska,” dakwanya ketika ditemui Kosmo! di rumah keluarganya di Kampung Tok Jembal di sini hari ini.
Mohd. Khalid mendakwa, selain sarang tebuan tanah, penduduk setempat juga mendakwa ternampak kelibat anak ular tedung di lokasi sama.
“Saya harap kejadian menimpa arwah anak tidak berulang dan menjadi pengajaran. Kami sekeluarga masih berbincang untuk menggunakan saluran undang-undang,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan anak ketiga Mohd. Khalid, Eidrish meninggal dunia setelah terkena lebih 60 sengatan tebuan tanah ketika bermain bersama dua kakaknya di hadapan rumah datuk mereka.
Kakak mangsa, Nur Aiyris Dania, 7, dan Nur Adelya, 10, kini sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan dilaporkan dalam keadaan baik dan beransur pulih. – KOSMO! ONLINE