COLOMBO – Kerajaan Sri Lanka mengumumkan pembekuan jualan petrol melainkan untuk perkhidmatan penting bermula kelmarin dan turut mengarahkan sebahagian besar stesen minyak ditutup.
Tindakan drastik itu dilaksanakan ketika krisis ekonomi Sri Lanka semakin meruncing. Negara Asia Selatan itu berdepan kegawatan ekonomi paling buruk sejak kemerdekaannya pada tahun 1948. Colombo juga gagal membiayai import bahan-bahan utama sejak tahun lalu.
Ketika rizab bahan api semakin berkurang dan hanya mencukupi untuk sehari sahaja lagi, jurucakap kerajaan, Bandula Gunawardana berkata, larangan penjualan oleh kerajaan bertujuan untuk menjimatkan petrol dan diesel bagi kegunaan kecemasan.
Beliau meminta sektor swasta untuk membenarkan pekerja bekerja dari rumah berikutan pengangkutan awam di Sri Lanka turut diarah menghentikan operasi.
“Bermula dari tengah malam ini (kelmarin), minyak petrol dan diesel tidak akan dijual kecuali untuk perkhidmatan penting seperti sektor kesihatan kerana kita perlu menjimatkan rizab yang ada,” kata Bandula.
Beliau turut memohon maaf kepada pengguna atas kekurangan bekalan bahan api yang berlaku.
“Kami amat menyesali atas semua kesulitan yang menimpa rakyat,” katanya.
Minggu lalu, Sri Lanka membuat keputusan untuk menutup kebanyakan sekolah kerajaan, manakala pejabat awam pula beroperasi dengan jumlah kakitangan minimum.
Bagaimanapun, berikutan situasi kekurangan bekalan bahan api dijangka berterusan, arahan tersebut dilanjutkan sehingga 10 Julai ini. – AFP