fbpx

Lagi saksi akui buat invois, baucar palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Guan Eng ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes rasuah Lim Guan Eng di Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, seorang lagi saksi mengaku memalsukan akaun dengan menyediakan invois dan baucar palsu kepada empat buah syarikat sedangkan pembayaran tidak dijelaskan kepada syarikat-syarikat itu.

Ibrahim Sahari, 58, sebaliknya berkata pembayaran dikeluarkan kepada bekas rakan sejawatannya, Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli yang mana wang itu kemudian digunakan untuk merasuah Lim Guan Eng.

Perbicaraan sebelum ini diberitahu, wang rasuah itu adalah 10 peratus daripada keuntungan bersih syarikat kontraktor Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG) yang mengendalikan projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang.

Semalam, bekas Naib Presiden Kanan, Kewangan dan Perkhidmatan Korporat CZBUCG, Azli Adam mengaku menyediakan invois dan baucar bayaran palsu atas arahan Zarul Ahmad meskipun mengetahui perbuatan itu satu kesalahan.

Ibrahim yang kini bekas Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (CZCSB) berkata, pada asalnya beliau tidak mengetahui kepada siapa wang itu diserahkan.

`Saya hanya mengetahui bahawa wang itu digunakan untuk merasuah Ketua Menteri Pulau Pinang seperti yang didedahkan oleh Zarul Ahmad sendiri setelah beliau (Zarul Ahmad) selesai memberi percakapan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian pada sesi pemeriksaan utama yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Mokhzani Faris Mokhtar.

Saksi pendakwaan ke-29 itu menyatakan, Zarul Ahmad yang ketika itu merupakan Pengarah CZCSB juga tidak memaklumkan cara pembayaran rasuah yang diberikan kepada Guan Eng.

Ketika membacakan pernyataan saksi, Ibrahim menyatakan, pengeluaran wang daripada CZCSB kepada Zarul Ahmad diuruskan oleh Azli.

Pernyataan itu menyatakan pada 2017, CZBUCG telah ditukarkan kepada CZCSB kerana rakan kongsi iaitu BUCG telah keluar dari Consortium.

Tindakan itu atas arahan kerajaan negeri susulan insiden kren jatuh melibatkan kematian yang mana insiden tersebut berlaku dalam kawasan projek BUCG.

Ujar Ibrahim dalam pernyataan saksi, Zarul Ahmad turut mengarahkan beliau dan Azli agar mencari syarikat yang masih wujud namun tidak lagi aktif untuk menggunakan invoisnya  bagi tujuan rekod pengeluaran wang.

Saksi berkata, empat syarikat itu ialah Sinar Bina Consultancy Services (SBCS), Bintang Ria Engineering (BRE), JKM Konsortium Sdn. Bhd. (JKMKSB) dan Jurutera Konsult Maju Sdn. Bhd. (JKMSB).

Ketika disoal balas oleh peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng, Ibrahim mengaku beliau dan Azli melakukan kesalahan dengan menyediakan invois dan baucar bayaran palsu.

Saksi turut mengaku mereka-reka transaksi pengeluaran wang namun menafikan beliau dan Azli adalah jaguh mereka-reka keterangan di mahkamah untuk kepentingan peribadi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 25 Julai ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI