PEMILIK Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memasang impian untuk melihat kelab Harimau Selatan melangkah jauh, lebih daripada pusingan 16 terbaik pada saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL).
Pemangku Raja Johor itu berkata, JDT yang melakar sejarah ke peringkat itu berdepan tugas sukar apabila menentang pemenang dua kali, Urawa Red Diamonds dari Jepun.
“Bagi saya, perlawanan itu memberi kelebihan buat Urawa Red selaku tuan rumah tapi peluang untuk mara masih 50-50, dalam bola sepak apa-apa sahaja boleh berlaku.
“Kita tunggu dan lihat, kalau boleh saya harap JDT dapat menewaskan kelab Jepun itu dan menempah tiket ke suku akhir. Jika tidak berjaya pun, saya sudah puas hati dengan prestasi pemain.
“Jika kita lihat saingan peringkat kumpulan dahulu, kita diundi bersama juara Liga Jepun dan Korea Selatan, namun tetap berjaya mara ke pusingan 16 terbaik, bagi saya itu sudah cukup bagus,” katanya pada majlis perjumpaan bersama penyokong JDT di Stadium Sultan Ibrahim, malam kelmarin.
Jepun dipilih menjadi destinasi seterusnya buat wakil tunggal negara itu dalam saingan ACL bagi Zon Timur selepas negara Matahari Terbit itu menjadi tuan rumah sehingga peringkat separuh akhir.
Perkara itu diumumkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebelum ini dengan pusingan 16 terbaik akan berlangsung pada 18 dan 19 Ogos diikuti suku akhir (22 Ogos) dan separuh akhir (25 Ogos).
Tunku Ismail sedikit kecewa apabila Johor tidak dipilih menjadi tuan rumah bagi saingan ACL pusingan 16 terbaik sehingga peringkat separuh akhir setelah dipilih menjadi gelanggang bagi saingan peringkat Kumpulan I, April lalu.
“Saya berharap perlawanan itu nanti akan diadakan di sini (Stadium Sultan Ibrahim). Kita juga ada membuat permintaan, namun AFC pilih untuk diadakan di Jepun, kami hormati keputusan itu,” katanya.
Dalam pada itu, Tunku Ismail menjunjung titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk terus bersama JDT sampai bila-bila.
“Masa majlis perasmian Dewan Undangan Negeri selepas perbarisan Askar Timbalan Setia Negeri Johor, Sultan bertitah JDT itu adalah awak, awak adalah JDT, awak tak boleh tinggalkan JDT, awak yang lahirkan JDT.
“Jadi, saya terpaksalah menjaga negeri Johor dan JDT buat selamanya,” kata Tunku Ismail.