fbpx

Jejak 3 rungkai duka marhaen pascabencana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JEJAK 3 menampilkan selebriti dan NGO yang berbeza setiap episod bagi memastikan kejayaan misi kemanusiaan yang meliputi pelbagai aspek, seperti bantuan sosial, kewangan, bencana alam dan meraikan ‘unsung heroes’.

PROGRAM Jejak kembali dengan musim ketiga meneruskan paparan aktiviti amal kebajikan dan menyantuni masyarakat yang memerlukan bantuan dengan penuh kasih sayang tanpa mengira latar belakang, bangsa dan agama.

Mula bersiaran sejak Isnin lalu, Jejak 3 membawa tema Kita Jejak Kita Bantu dan memaparkan babak-babak belakang tabir kerja amal yang dilakukan selebriti berbeza setiap minggu.

Mereka bekerjasama dengan Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dengan menziarahi golongan yang memerlukan dan memberi bantuan asas untuk meneruskan kehidupan.

Program yang menyayat hati tersebut turut menyelitkan pelbagai kisah perit yang dihadapi masyarakat tatkala hidup dalam serba kekurangan akibat kekangan kewangan.

Pengurus Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd. Salleh, menjelaskan pihaknya, sentiasa bersedia menggalas tugas untuk membawa paparan realiti masyarakat yang terhimpit dengan kesukaran dan kedaifan demi memberi kesedaran.

DRAMATIS terkenal Rozita Che Wan
atau Che Ta turut menyertai pasukan
Jejak 3 dalam
mendekati golongan yang terkesan pascabencana.

“Sesungguhnya realiti perit sebegini tidak seharusnya diselindungi, malah patut dijadikan paparan untuk membantu mereka yang memerlukan serta membawa kesedaran dalam kalangan masyarakat.

“Apatah lagi ramai komuniti di negara ini terkesan dengan pelbagai bencana alam yang pernah berlaku sebelum ini.

“Justeru, Jejak 3 menyelami kisah-kisah golongan yang diselubungi kesempitan, termasuklah dari segi kehilangan harta benda, keupayaan serta kesihatan,” katanya.

Sementara itu, pengarah Jejak 3, Johan Shahputra Johny Anwar, berkata, pihak produksi menghadapi beberapa cabaran seperti kesukaran mencari kes bersesuaian untuk diberikan bantuan dan dipertontonkan kepada orang ramai.

Atas bantuan daripada pelbagai NGO, kekangan tersebut dapat diatasi berdasarkan portfolio serta penceritaan kes-kes yang dicadangkan.

“Jejak 3 membawa sedikit kelainan kerana menampilkan barisan selebriti yang berbeza mengikut episod, sekali gus menyerlahkan sisi mereka yang tidak pernah dilihat oleh peminat.

DUA beradik, Heliza dan Hazwani Helmi yang aktif dengan aktiviti kemanusiaan turut melibatkan diri dalam program Jejak 3.

“Dalam setiap episod, kami juga bekerja dengan NGO yang berbeza.

“Diharapkan program ini dapat membuka mata penonton serta memberi pendedahan bahawa di luar sana masih ramai yang memerlukan pertolongan kita,” ujarnya.

Antara selebriti yang terlibat dalam program Jejak 3 ialah Rozita Che Wan, Yana Samsudin, Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Datuk Aznil Nawawi, Fikry Ibrahim, Liza Hanim dan Lisa Surihani.

Jejak 3 bersiaran selama 13 episod ditayangkan menerusi Astro Prima (105) bermula Isnin lalu pukul 9 malam. Program berkenan juga boleh distrim menerusi On Demand atau Astro GO.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI