fbpx

2,148 pesalah dadah ditahan sejak 2019, 6.12 kg dadah dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sejumlah 2,148 individu yang melakukan kesalahan berkaitan dadah berjaya diberkas hasil 599 serbuan ke atas pusat hiburan di ibu negara sejak tahun 2019 hingga Jun tahun ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, melalui serbuan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen dan daerah turut merampas 6.12 kilogram dadah.

“Semasa serbuan juga, sejumlah 342 kompaun yang bernilai lebih RM1 juta telah dikeluarkan ke atas pelanggan dan pemilik premis yang melanggar peraturan yang ditetapkan.

“Sepanjang serbuan dilakukan, lebih 15 pusat hiburan didapati telah menutup operasi berkemungkinan mereka rasa tidak lagi selamat susulan operasi yang dijalankan pihak polis secara berterusan,” ujarnya pada sidang akhbar di IPK Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mengulas mengenai dakwaan Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkenaan 15 buah pusat hiburan di ibu kota menjadi pusat pengedaran dadah sintetik, ujar Azmi, pihaknya amat mengalu-alukan maklumat yang disalurkan bagi membolehkan pihak polis mengambil tindakan.

“Saya amat mengalu-alukan maklumat daripada sesiapa pun berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang. Saya pun ada terbaca dan telah dimaklumkan oleh pegawai saya berkenaan dakwaan Tan Sri Musa Hassan tetapi sehingga kini kita masih belum terima maklumat rasmi,” katanya.

Pada 23 Jun lalu, Musa yang juga presiden MCCC mendedahkan senarai 15 pusat hiburan didakwa menjadi ‘lubuk’ pengedaran dadah sintetik di ibu negara kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, senarai tersebut tidak diserahkan kepada IPK Kuala Lumpur kerana beliau lebih yakin tindakan akan segera dilakukan apabila senarai itu dihantar terus kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI