LONDON – Motivasi pemain No.3 dunia, Novak Djokovic kini berada pada tahap tertinggi untuk mempertahankan gelaran Wimbledon selepas berjaya melangkah ke pusingan kedua.
Juara 20 kali Grand Slam yang juga pilihan utama itu tidak berdepan masalah untuk menewaskan pemain dari Korea Selatan, Kwon Soo-woo 6-3, 3-6, 6-3, 6-4 pada pusingan pertama di All England Club awal pagi semalam.
Menariknya, kemenangan itu turut membolehkan Djokovic menjadi pemain pertama di era terbuka berjaya memenangi 80 perlawanan dalam semua empat Grand Slam.
“Saya bersemangat tinggi sama seperti semua pemain di luar sana. Sekarang sudah 80 (kemenangan), jadi saya cuba pula untuk mencapai angka 100.
“Saya bukan salah seorang pemain muda, tetapi cinta saya terhadap sukan ini tidak pernah padam. Saya sentiasa cuba berikan permainan terbaik di semua saingan Grand Slam,” katanya.
Djokovic, 35, yang kini memburu gelaran keempat Wimbledon berturut-turut, gembira dapat kembali ke gelanggang Grand Slam selepas kontroversinya enggan mengambil suntikan vaksin Covid-19.
Keengganan itu menyebabkan dia terlepas Terbuka Australia awal tahun ini sebelum kembali beraksi di Terbuka Perancis yang menyaksikannya tersingkir di suku akhir kepada Rafael Nadal.
“Jadi, saya mahu memanfaatkan setiap peluang ini dengan memberikan permainan terbaik di sini. Lagi pun sudah tidak banyak masa, selepas tamat Wimbledon, Terbuka AS (Amerika Syarikat) bermula,” jelas Djokovic. – AGENSI