fbpx

Peguam mengaku tak bersalah pecah amanah RM1.52 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Zawahid ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini

SHAH ALAM – Seorang peguam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan pecah amanah berjumlah RM1.52 juta bagi pembelian hartanah, lima tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Zawahid Ya, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di Hakim Helina Sulaiman.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada lima anak itu didakwa dengan curang telah melakukan pecah amanah RM1.52 juta yang telah diamanahkan kepadanya.

Perbuatan itu dilakukan firma guamannya sendiri di Subang Bestari di sini antara 9 Mei hingga 11 Ogos 2017.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan serta denda mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Uzair Abd. Munir mencadangkan jaminan RM200,000 bersama seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada pihak mahkamah.

Peguam Fahmi Abd. Moin Ilyani Khuzairi dan Azizul Shariman Mat Yusoff mewakili tertuduh memohon jaminan serendah RM40,000.

“Anak guam mempunyai lima anak berusia tujuh hingga 23 tahun dengan perbelanjaan tiga anaknya di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ditanggung sendiri oleh tertuduh.

“Selain itu, anak guam saya juga telah menjadi peguam sejak 2001 dan ini merupakan kesalahan pertamanya selain menanggung isteri dan kedua ibu bapanya,” jelasnya.

Mahkamah menetapkan jaminan RM50,000 bersama penjamin, pasport diserahkan kepada mahkamah serta melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.

Sebutan semula kes ditetapkan 9 Ogos hadapan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI