PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas 17 unit alat teknologi penstriman (android box) bernilai RM6,800 dalam serbuan di tiga premis berasingan di Petaling Jaya, Selangor pada 22 Jun lalu.
Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat pemilik hak cipta serta risikan awal yang telah dilakukan oleh pihak KPDNHEP selama beberapa hari sebelum itu.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas dokumen berkaitan yang disyaki mengandungi karya hak cipta seperti yang diadukan pemilik hak cipta.
“Selain itu, kami turut menahan dua lelaki masing-masing seorang warga tempatan dan seorang lagi bukan warganegara berusia lingkungan 30-an untuk siasatan lanjut.
“Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 43AA Akta Hak Cipta 1987 iaitu melakukan pelanggaran hak cipta dalam apa-apa karya dengan menjual suatu teknologi penstriman,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM200,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.
Azman berkata, KPDNHEP telah menambahbaik Akta Hak Cipta 1987 melalui pindaan kepada Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 yang telah berkuat kuasa mulai 18 Mac 2022 lalu.
Menurutnya, pindaan itu memberi penekanan dalam usaha pihak kementerian untuk membanteras pelanggaran hak cipta secara dalam talian atau cetak rompak digital dengan lebih berkesan.
“Kami ingin mengingatkan kepada semua peniaga agar tidak menjual alat teknologi penstriman seumpama ini.
“Tindakan penguatkuasaan serta pemantauan yang berterusan akan dilakukan kerana alat teknologi penstriman ini berupaya melakukan pelanggaran hak cipta dalam apa-apa karya hak cipta yang dilindungi,” katanya. – KOSMO! ONLINE