fbpx

Piala AFC: Ngah Wanja arkitek kejayaan Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NGAH WANJA menjadi watak penting dalam kemenangan Kedah apabila meledak satu gol dan dua gerakan jaringan menewaskan Kaya FC sebentar tadi. - KDA FC

KUALA LUMPUR – Kedah Darul Aman FC kembali menghidupkan peluang mereka dalam saingan Piala AFC selepas merakam kemenangan pertama dengan menewaskan Kaya FC Iloilo 4-1 pada aksi kedua Kumpulan G sebentar tadi.

Penyerang Cameroon, Ronald Ngah Wanja layak diangkat wira buat skuad Helang Merah apabila meledak satu gol selain mencipta dua gerakan jaringan dalam aksi di Stadium Kapten I Wayan Dipta di Bali, Indonesia itu.

Import berusia 30 tahun itu bijak memanfaatkan kepantasan dan kelicikannya ketika berlari bersama bola untuk memecahkan benteng pertahanan Kaya FC yang kebal untuk tempoh 57 minit pertama.

Hasilnya, Ngah Wanja berjaya melorongkan bola cantik kepada Muhammad Fayadh Mohd. Zulkifli Amin untuk membuka tirai jaringan buat skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak pada minit ke-57.

FAYADH (kiri) berjaya meledak dua gol, manakala Al-Mardi (tengah) turut mencipta nama sebagai penjaring dalam kemenangan 4-1 Kedah ke atas Kaya FC sebentar tadi. – TWITTER AFC

Tidak terhenti di situ, penyerang yang pernah membuat dua penampilan bersama Cameroon di pentas antarabangsa, terus menjadi arkitek buat gol kedua Kedah.

Kali ini, Ngah Wanja menggunakan kepantasannya untuk menewaskan pertahanan Kaya FC sebelum membuat hantaran kepada seorang lagi penyerang import dari Jordan, Mahmoud Al-Mardi pada minit ke-63.

Tidak lama kemudian, giliran Ngah Wanja pula mencipta nama selaku penjaring buat Kedah dengan gol ketiga pada minit ke-82 menerusi rembatan leret untuk menewaskan penjaga gol Kaya FC, Quincy Kammeraad.

Selain Ngah Wanja, Fayadh juga mencuri tumpuan apabila meledak jaringan kedua peribadi dalam perlawanan itu untuk memberikan gol keempat Kedah pada minit ke-93.

NGAH WANJA (kiri) membuktikan kualitinya untuk menjadi penyerang utama Kedah selepas memainkan peranan penting menewaskan Kaya FC sebentar tadi. – KDA FC

Kaya FC yang kini sudah tersingkir daripada saingan Piala AFC, sekadar meraih jaringan sagu hati menerusi Javier Gayoso pada minit ke-86.

Kemenangan itu pastinya membakar semangat para pemain Kedah yang sebelum ini tewas 0-2 kepada Bali United, untuk menghadapi pendahulu Kumpulan G, Visakha FC dari Kemboja pada 30 Jun ini.

Ia bukan satu tugas mudah buat skuad Helang Merah kerana Visakha juga berada pada tahap terbaik selepas membelasah Bali United 5-2 dalam satu lagi aksi yang berlangsung petang tadi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI