fbpx

Mekanik syak ada unsur khianat bakar bengkel motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba sedang memadam kebakaran sebuah bengkel motosikal di Melor, Kota Bharu pagi tadi. - Foto IHSAN BOMBA

KOTA BHARU – Seorang mekanik mengesyaki ada unsur perbuatan khianat apabila bengkel motosikal miliknya musnah sehingga menyebabkan dia kerugian RM35,000 dalam kejadian kebakaran di Melor di sini hari ini.

Kejadian itu disedari oleh Mahadi Zulkifli, 51, kira-kira pukul 3.50 pagi yang tersedar daripada tidur selepas terdengar bunyi letupan dari bengkel yang terletak sebelah rumahnya.

Menurut Mahadi, dia turut terbau hangit dari arah bengkelnya yang menempatkan empat buah motosikal miliknya dan anak saudara untuk dibaiki.

“Melihat situasi itu, saya terus menghubungi bomba. Dalam keadaan kelam kabut, saya tidak sempat menyelamatkan motosikal jenis Yamaha 155, Yamaha Y15, Yamaha Ego dan Modenas Kriss.

“Saya mengesyaki ada perbuatan khianat dan meminta agar pihak polis menjalankan siasatan selain mengambil tindakan segera terhadap orang yang bertanggungjawab melakukan perbuatan khianat ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.

Mahadi berkata, kejadian itu menyebabkan dia mengalami kerugian hampir RM35,000 termasuk empat buah motosikal yang hangus.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Mohd. Roslan Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu kira-kira pukul 3.54 pagi sebelum seramai enam orang anggota dengan sebuah jentera terus bergegas ke lokasi kejadian.

“Kita berjaya mengawal kebakaran kira-kira pukul 4.19 pagi dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya tiga minit kemudian.

“Kita masih menjalankan siasatan untuk mengenalpasti punca kebakaran itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI