JUARA bertahan lapan musim berturut-turut Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan kehadiran pemain pertahanan baharu, Daniel Ting untuk mengharungi baki saingan musim ini.
Pengumuman itu dibuat menerusi satu video pengenalan pemain yang dimuat naik di laman sosial rasmi Instagram kelab berkenaan semalam.
Ia sekali gus meleraikan teka-teki destinasi kelab seterusnya selepas dia sebelum ini hilang secara misteri setelah enggan untuk beraksi dengan Kuala Lumpur (KL) City FC pada awal saingan musim ini.
Kehadiran bek kiri berusia 29 tahun itu menjadikan dia antara beberapa nama baharu yang bakal diumumkan JDT dan mengisi kekosongan ditinggalkan Mauricio dos Santos Nascimento.
Mauricio, 33, yang diberi julukan nama ‘kereta kebal’, sah meninggalkan JDT selepas berkhidmat bersama kelab tersebut sejak 2019.
“Terima kasih atas khidmat dan komitmen cemerlang sepanjang empat musim di mana kita memenangi lapan trofi bersama-sama.
“Anda adalah legenda kelab dan akan sentiasa menjadi sebahagian daripada Keluarga JDT,” menurut kenyataan JDT.
Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards sebelum ini mendedahkan juara Piala AFC 2015 itu akan menandatangani empat tonggak baharu iaitu dua dari luar negara dan dua pemain tempatan.
Ia bermakna pemain lain bakal diumumkan dalam masa terdekat dengan pemain berdarah campuran Malaysia-Belgium, Dion Cools antara yang hangat diperkatakan.
Spekulasi itu bertambah kencang selepas tular gambar Cools hadir dalam satu majlis di Johor bersama pemilik JDT yang juga Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan beberapa individu lain termasuk ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora.