PETALING JAYA – “Demi Allah saya tak memijak perut, mencekik, menendang dan menumbuk. Semua tuduhan itu karut.”
Demikian pengakuan pelakon terkenal, Sharnaaz Ahmad mengenai kes tahanan reman melibatkan dirinya berhubung dakwaan mencederakan orang awam di sebuah kondominium di Segambut dua minggu lalu.
Mahu meleraikan pelbagai versi cerita yang timbul sejak akhir-akhir ini, pemilik nama penuh Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, 37, itu memberitahu kejdian tersebut tercetus berlaku ketika dia cuba meleraikan pertelingkahan antara seorang penghuni dengan pengawal keselamatan.
“Hari ini genap seminggu saya dibebaskan daripada tahanan reman minggu lalu. Sebelum keputusan mahkamah keluar, saya akan terangkan secara ringkas dan padat supaya pihak tertentu boleh faham.
“Ketika itu, salah seorang penduduk iaitu pengadu sedang bergaduh dengan pengawal keselamatan kerana tidak dibenarkan membawa masuk minyak masak.
“Apabila turun bawah, saya cuba pertahankan pengawal itu sebab tak boleh lihat orang ditindas tidak kira agama dan bangsa,” katanya dalam satu video Instagram hari ini.
Menjawab tuduhan yang dilemparkan kepadanya, pelakon filem Jebat itu berkata dia tidak melakukan sebarang kekasaran seperti menumbuk, menendang perut atau memijak individu lain seperti yang ditularkan umum.
“Apabila saya pertahankan, berlakulah benda tak diingini namun ingin saya tegaskan, demi Allah saya tidak menumbuk, memijak perut, menendang dan mencekik.
“Itu semua benda karut, jangan percaya dan saya yakin saya tak buat,” jelasnya.
Katanya lagi, kertas siasatan juga sudah dilengkapkan dan dihantar kepada timbalan pendakwa raya untuk keputusannya kelak.
Dalam pada itu, bapa tunggal anak satu itu berharap orang ramai memahami jalan cerita kes tersebut dan tidak melemparkan sebarang stigma negatif terhadap mana-mana individu yang ditahan reman.
“Saya pun tak mahu panjangkan perkara ini dan tidak minta benda ni berlaku. Kita harapkan jalan terbaik untuk kedua-dua belah pihak.
“Bukan hendak cakap saya bagus atau pihak sana jahat tetapi jangan terus melompat kepada kesimpulannya.
“Apabila nampak dia masuk reman, sebenarnya prosedur tersebut untuk membantu siasatan polis. Harap penjelasan ini dapat jelaskan situasi sebenar kepada individu tertentu dan pihak media,” jelasnya lagi.
Terdahulu, pada 20 Jun lalu, bekas abang ipar Neelofa itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan reman selama tiga hari bermula 18 hingga 20 Jun atas dakwaan memukul dan menendang seorang penghuni di kondominium di Segambut dua minggu lalu.
Ketika dibebaskan, dia menegaskan akan membuktikan kepada mahkamah bahawa dirinya tidak bersalah dalam kes tersebut. – KOSMO! ONLINE