PETALING JAYA – “Man went from pelakon kayu to becoming Hawkeye Tanah Melayu.”
Demikian antara pujian netizen terhadap pelakon Fattah Amin selepas kemunculannya dalam filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan menonjolkan tahap lakonan yang mengagumkan.
Jika dahulu dia pernah digelar pelakon kayu, namun kemunculannya dalam filem berkenaan dengan memegang watak sebagai Awang iaitu seorang pahlawan yang handal memanah dihujani pujian ramai.
Menerusi Twitter, bertalu-talu pujian diberikan netizen terhadap mutu lakonan Fattah, 32, yang semakin bersinar sebagai seorang pelakon serba boleh, jauh berbeza berbanding dirinya ketika awal kemunculan dalam industri.
Selain lakonan yang mantap, penonton turut memuji skil seni mempertahankan diri dimiliki Fattah iaitu silat dan aksi memanah yang dipaparkan dalam filem tersebut.
Babak-babak aksi dalam filem terbitan Kembara Studio dengan kerjasama Skop Productions berkenaan turut membuka mata penonton terhadap lakonan Fattah sehingga memadam bayangan imej hero drama romantik.
“Saya harus puji Fattah Amin, lakonan dan babak berlawan dia sangat bagus. Dah hilang imej ‘mat bunga’ dia. 1000/10 untuk dia,” komen seorang netizen.
Malah tidak kurang juga ada yang berkata, Fattah sangat bertuah kerana memiliki seorang isteri seperti Nur Fazura yang sentiasa menyokong dirinya sekali gus memperbaiki diri dengan melakukan yang terbaik dalam soal kerjaya.
Sejak ditayangkan di pawagam tempatan bermula 23 Jun lalu, filem Mat Kilau mencipta sejarah apabila berjaya mengutip RM12.2 juta dalam masa empat hari.
Malah filem arahan Syamsul Yusof tersebut turut trending dan menjadi bualan ramai netizen dalam media sosial seperti Twitter dan TikTok.
Mat Kilau turut dibintangi barisan pelakon handalan seperti Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Johan As’ari dan aktor dari Indonesia, Yayan Ruhian. – KOSMO! ONLINE