fbpx

Biden umum dana RM880 bilion saingi inisiatif Jalur dan Laluan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Biden bercakap ketika sidang akhbar di samping Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau dan para pemimpin G7 ketika persidangan di Krun, Jerman, kelmarin. – AFP

BERLIN, JERMAN – Presiden Joe Biden mengumumkan bahawa Amerika Syarikat (AS) akan menyumbang AS$200 bilion (RM880 bilion) kepada inisiatif infrastruktur global, lapor agensi berita United Press International kelmarin.

Komitmen itu diumumkan pa­da persidangan negara-negara Kumpulan Tujuh (G7) di Jerman kelmarin.

Biden berkata, dana AS$200 bilion akan disalurkan kepada program tersebut untuk tempoh lima tahun akan datang.

Selain Washington, negara-negara G7 lain akan turut menyumbang bagi mencapai sasaran dana infrastruktur dunia mencecah AS$600 bilion (RM2.6 trilion).

“Negara-negara membangun berdepan masalah kekurangan infrastruktur penting bagi membantu menghadapi krisis global seperti pandemik.

“Justeru, impak dialami oleh negara-negara terbabit adalah le­bih teruk. Negara-negara ini juga mengambil masa yang lebih lama untuk kembali pulih.

“Kebimbangan kami (Barat) bukan sekadar dari sudut kemanusiaan, bahkan melibatkan aspek ekonomi dan keselamatan kita semua,” katanya.

Inisiatif Biden itu diumumkan selepas China mengambil masa hampir satu dekad untuk me­labur dalam projek infrastruktur di Benua Afrika dan Asia termasuk membiayai pembinaan seperti pelabuhan dan jaringan tanpa wayar 5G di bawah pelan Jalur dan Laluan.

Biden tidak menyebut China secara jelas dalam ucapannya, namun berkata, pelan G7 itu menawarkan pilihan lebih baik kepada masyarakat dunia.

“Ini bukan kerja amal (percu­ma). Ini adalah pelaburan yang akan memberikan pulangan ke­pada semua orang termasuk rak­yat AS sendiri,” kata Biden. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI