Kononnya atas tiket hak asasi manusia dan hak kebebasan bersuara, beberapa perkara yang dahulunya dianggap sebagai satu kesalahan, kini sedikit demi sedikit bagaikan sudah mula dapat diterima oleh masyarakat.
Desakan demi desakan baik secara halus mahupun secara terang-terangan daripada pihak tertentu bagaikan menjadi kunci yang mula membuka ruang kepada perkara-perkara yang selama ini dianggap sebagai satu kesalahan untuk dianggap sebagai perkara biasa dan perlu diterima semua.
Banyak perkara yang bertentangan dengan hukum agama yang sebelum ini hanya berlaku di negara-negara Barat seperti memberi pengiktirafan kepada golongan gay, lesbian, transgender atau kehidupan bebas lelaki perempuan tanpa perkahwinan kini sudah mula meresap perlahan-lahan dalam kehidupan masyarakat Islam kita.
Anak-anak bangsa kita yang hanyut dan berbangga-bangga dengan dadah dan arak juga nampaknya sudah semakin sukar untuk dikawal.
Terbaharu, tindakan negara jiran kita yang mula mengeluarkan ganja daripada senarai bahan dadah berbahaya dengan membenarkan rakyatnya menanam pokok tersebut di rumah seharusnya membuatkan kita menjadi lebih rungsing.
Apa tidaknya, selepas ini mungkin akan ada pihak-pihak yang cenderung ke arah penggunaan ganja akan mendesak pihak berkuasa untuk ‘menghalalkan’ bahan terlarang itu di negara ini pula dengan menjadikan negara jiran kita sebagai contoh.
Berita berkaitan: Kesan buruk ganja kepada otak
Lebih daripada itu, anak-anak kita yang tinggal berdekatan dengan sempadan Thai khususnya mereka yang bebas keluar masuk ke negara itu, pastinya akan mendapat akses yang lebih mudah kepada ganja kerana ia sudah halal di sana.
Ini sudah tentunya memberi ‘berita gembira’ kepada mereka, sedangkan masalah penagihan dadah dalam kalangan anak bangsa sehingga mencetuskan pelbagai masalah sosial di negara kita pun sehingga kini masih sukar untuk dikawal.
Berita berkaitan: Penduduk Thailand dibenarkan hisap ganja di rumah
Pelbagai kejadian jenayah telah dicetuskan mereka. Mencuri, merompak, malah ada yang sampai sanggup membunuh ibu dan bapa kandung sendiri. Itulah bahana yang tercetus apabila fikiran manusia sudah tidak mampu dikawal oleh akal yang waras.
Pihak berkuasa seharusnya melihat perkara ini dengan serius. Sehebat mana pun kononnya ganja boleh menjana ekonomi negara, sudah tentu ia tidak akan memberi sebarang erti jika anak bangsa kita ramai yang rebah dan hidup dalam keadaan terhoyong-hayang.
Jika ada sekalipun suara-suara yang akan mendesak dan menyokong kepada langkah untuk ‘menghalalkan’ atau ‘mengarusperdanakan’ penggunaan ganja di negara ini kelak, seharusnya ia ditentang.
Dengan masalah penagihan dadah begitu sukar dikawal ketika ini, pada hemat saya, tanaman itu sebenarnya lebih banyak ke arah memudaratkan berbanding manfaat. Jangan sampai kita terikut-ikut dengan orang dan masalah ini menjadi budaya dalam masyarakat kita.